Subsidi pengangkutan awam dibuka 1 Jun, RM30 sebulan untuk 50,000 pemohon awal

LocalBusiness & Finance
29 May 2026 • 10:48 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Subsidi pengangkutan awam dibuka 1 Jun, RM30 sebulan untuk 50,000 pemohon awal

SHAH ALAM, 29 MEI: Permohonan subsidi tambang pengangkutan awam menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor akan dibuka mulai 1 Jun ini membabitkan 50,000 pemohon terawal.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan inisiatif khas itu diperkenalkan bagi membantu meringankan kos pengangkutan awam rakyat susulan tekanan kos sara hidup semasa.

Menurutnya, pemohon yang layak akan menerima subsidi tambang sebanyak RM30 sebulan untuk tempoh enam bulan, tertakluk kepada syarat serta kelulusan ditetapkan.

“Melalui inisiatif khas ini, warga Selangor yang layak akan menerima subsidi tambang sebanyak RM30 sebulan selama enam bulan dan tertakluk kepada syarat serta kelulusan yang ditetapkan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, orang ramai disaran membuat persediaan lebih awal memandangkan permohonan dijangka menerima sambutan tinggi.

Tambah kenyataan itu, pengguna boleh memuat turun aplikasi NINE dan melengkapkan proses pengesahan kendiri (eKYC) sebelum permohonan dibuka secara rasmi.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor membabitkan peruntukan RM131 juta bagi menghadapi kesan krisis geopolitik di Asia Barat.