PERDEBATAN mengenai struktur subsidi negara kembali menjadi tumpuan apabila kerajaan meneliti cadangan semakan pemberian subsidi petrol RON95 kepada kumpulan berpendapatan tinggi.
Persoalan kini timbul sama ada klasifikasi pendapatan B40, M40 dan T20 masih relevan dalam menggambarkan realiti kehidupan rakyat, khususnya di kawasan bandar.
Reformasi subsidi tidak boleh dilaksanakan secara pukul rata. Hakikatnya, ramai dalam kalangan kelas menengah bandar yang secara teknikal berada dalam kategori pendapatan tinggi, tetapi hanya 'tinggi atas kertas' apabila berdepan kos sara hidup sebenar yang semakin meningkat.
Berdasarkan Tinjauan Pendapatan Isi Rumah 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ambang T20 nasional ditetapkan pada RM12,680 sebulan. Namun, angka ini tidak boleh dibaca secara mutlak tanpa mengambil kira perbezaan lokasi dan kos hidup.
Angka ini tidak semestinya menggambarkan kemewahan mutlak. Di bandar besar, pendapatan dalam julat ini masih perlu menampung kos petrol harian, tol, sewa atau ansuran rumah yang tinggi, pendidikan anak-anak serta komitmen isi rumah yang kompleks.
Dalam keadaan ini, isi rumah kelompok T20 masih boleh berada dalam tekanan kewangan yang ketara.
Malah, realiti ini turut disuarakan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menegaskan bahawa mereka berpendapatan isi rumah RM13,000 dan tinggal di bandar seperti Kuala Lumpur, boleh jatuh ke M40, bahkan B40.
Kenyataan ini menggambarkan jurang antara angka statistik dan realiti kehidupan harian makin melebar.
Isu ini menjadi lebih kritikal apabila kerajaan sedang menilai semula mekanisme subsidi RON95.
Jika definisi T20 tidak lagi mencerminkan keadaan sebenar, risiko kesilapan dalam sasaran tepat subsidi bersasar akan berlaku, sekali gus memberi kesan kepada kumpulan yang sebenarnya masih terhimpit.
Justeru, sebarang reformasi subsidi perlu disandarkan kepada pemahaman yang lebih tepat terhadap realiti ekonomi semasa.
Semoga kerajaan dapat memberikan penilaian wajar dalam menentukan siapa benar-benar layak atau tidak menerima subsidi agar keputusan dibuat tidak menimbulkan kesan berantai kepada rakyat dan struktur ekonomi pada masa hadapan.






