PUTRAJAYA – Kerajaan diingatkan supaya tidak “mencipta satu lagi krisis kos sara hidup yang memakan diri sendiri” susulan cadangan menarik subsidi petrol RON95 bagi golongan berpendapatan tinggi ketika konflik Asia Barat masih berterusan.
Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin berkata, sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad berhubung penarikan subsidi itu, beberapa persoalan asas perlu dijawab terlebih dahulu termasuk sama ada waktu itu sesuai ketika negara berdepan risiko inflasi, penyusutan penggunaan dan kelembapan ekonomi.
Menurutnya, kesan kenaikan harga bahan api tidak hanya tertumpu kepada satu kumpulan semata-mata kerana ia akan merebak ke seluruh rantaian bekalan.
“Dalam kalangan T15 dan T20, ramai terdiri daripada pemilik perniagaan kecil, penyedia perkhidmatan dan majikan. Apabila kos pengangkutan dan operasi mereka meningkat, kos itu akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna.
“Ini akan mencetuskan inflasi pusingan kedua terhadap barangan dan perkhidmatan keperluan, sekali gus menjejaskan kumpulan berpendapatan rendah lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Ujar Timbalan Ketua Wanita DAP itu, kumpulan T15 dan T20 juga merupakan pemacu utama penggunaan swasta domestik, justeru peningkatan mendadak kos bahan api akan mengurangkan perbelanjaan mereka dalam sektor runcit, makanan dan minuman serta pelancongan.
“Gabungan inflasi tinggi dan penyusutan penggunaan domestik akan memburukkan lagi prospek ekonomi yang sedia rapuh akibat konflik Asia Barat,” jelas beliau.
Menurutnya, penarikan subsidi bahan api bukan perkara mudah dan jika tidak dilaksanakan dengan baik, negara berdepan risiko kemerosotan ekonomi secara menyeluruh.
“Kerajaan hampir pasti perlu memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bagi menghadapi cabaran global. Putrajaya perlu menjawab persoalan ini. Jika kerajaan menarik subsidi hingga mencetuskan inflasi dan penyusutan penggunaan, kemudian pada masa sama menambah peruntukan untuk meredakan inflasi dan merangsang permintaan, adakah langkah itu benar-benar memberi kesan positif bersih kepada ekonomi?” soal Bee Yin.
Tambah beliau, kerajaan tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada penjimatan fiskal jangka pendek tanpa mengambil kira kos susulan yang mungkin perlu ditampung menerusi perbelanjaan tambahan kerajaan.
“Ketika negara memerlukan dasar fiskal mengembang dan bukannya dasar mengetatkan perbelanjaan, inilah masa paling tidak sesuai untuk menarik balik sebarang subsidi,” katanya.
Dalam pada itu, bekas menteri itu turut mempersoalkan mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar RON95 termasuk kaedah menentukan kelayakan penerima.
“Selain had pendapatan yang mudah dan bersifat umum, apakah kaedah yang benar-benar adil bagi menentukan kelayakan menerima subsidi RON95?” soalnya lagi.
Menurut beliau, jumlah pendapatan isi rumah bukan ukuran tepat kerana ia tidak menggambarkan realiti kos sara hidup yang berbeza mengikut lokasi dan tanggungan keluarga.
“Sebagai contoh, sebuah keluarga dengan pendapatan RM13,000 sebulan mungkin hidup selesa di kawasan luar bandar, namun di Lembah Klang, pasangan suami isteri bekerja dengan pendapatan sama sambil membesarkan tiga anak dan menanggung ibu bapa warga emas sebenarnya tergolong dalam kelas menengah bandar yang terhimpit.
“Walaupun diklasifikasikan sebagai golongan berpendapatan tinggi, baki pendapatan boleh guna mereka selepas menampung kos hidup bandar sebenarnya amat kecil,” katanya.
Beliau berkata, jika ambang T15 dilaksanakan, hampir satu pertiga isi rumah di Selangor dan Kuala Lumpur serta 40 peratus isi rumah di Putrajaya akan terkesan.
Katanya, penggunaan pendapatan isi rumah sebagai satu-satunya ukuran adalah tidak adil terhadap mereka yang berada di sempadan kategori kerana ia mengabaikan perbezaan kos hidup dan tanggungan keluarga.
Pada masa sama, Bee Yin turut membangkitkan kebimbangan terhadap sistem pengesahan identiti atau harga dua peringkat di stesen minyak yang disifatkannya bukan sahaja boleh menyebabkan kesesakan dan kelewatan pentadbiran di stesen minyak, malah membuka ruang kepada pasaran gelap dan penjualan semula petrol bersubsidi untuk keuntungan tertentu.
“Adakah kerajaan sudah menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi memastikan kos penguatkuasaan dan ketirisan subsidi tidak menelan penjimatan yang diharapkan?” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu membuktikan menerusi data bahawa langkah rasionalisasi subsidi tidak akan mencetuskan lingkaran inflasi atau menyebabkan kerugian bersih kepada ekonomi negara.
“Dalam keadaan dunia yang tidak menentu ketika ini, keutamaan negara seharusnya memperkukuh ekonomi domestik, bukannya mencipta satu lagi krisis kos sara hidup yang memakan diri sendiri,” katanya.
Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu kerajaan masih meneliti mekanisme terbaik berhubung cadangan semakan semula subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi.
Menurutnya, cadangan berkenaan telah dibincangkan oleh beberapa kementerian dan jawatankuasa berkaitan sejak beberapa minggu lalu, namun kerajaan belum memuktamadkan sama ada ia akan melibatkan kumpulan T20, T15 atau kategori lain.
Ketika ini, RON95 disubsidi pada harga RM1.99 seliter untuk semua rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu sah dan dihadkan kepada 200 liter sebulan. Di Malaysia Timur, diesel bersubsidi dijual pada harga RM2.15 seliter berbanding RM5.17 seliter di Semenanjung Malaysia.





