SHAH ALAM - Masih terdapat beberapa jurang pelaksanaan yang wajar diberi perhatian lanjut oleh kerajaan berkaitan subsidi bersasar RON95, khususnya melibatkan pemandu e-hailing dan p-hailing.
Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis Digital Malaysia (LEAD Malaysia) berkata, antara isu utama ialah ketiadaan penetapan kuota khusus bagi penghantar p-hailing, walaupun sektor tersebut memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi digital dan memenuhi keperluan harian rakyat.
Menurutnya, dari sudut kecekapan penggunaan bahan api, aktiviti p-hailing sebenarnya menyumbang kepada pengurangan penggunaan petrol secara keseluruhan.
"Ini kerana penghantaran menggunakan motosikal yang mempunyai kadar penggunaan bahan api yang jauh lebih rendah, di samping keupayaan untuk melaksanakan penghantaran secara pukal dalam satu perjalanan.
"Secara perbandingan, jika pengguna keluar sendiri menggunakan kereta bagi setiap urusan pembelian makanan atau barangan, jumlah penggunaan bahan api adalah lebih tinggi bagi setiap transaksi.
"Oleh itu, setiap satu perjalanan p-hailing berpotensi menggantikan beberapa perjalanan individu, sekali gus menghasilkan penjimatan bersih penggunaan bahan api di peringkat sistem," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, dalam konteks tersebut, keaktifan sektor p-hailing bukan sahaja menyokong ekonomi harian, malah menyumbang kepada kecekapan tenaga negara yang wajar diiktiraf dalam perumusan dasar subsidi.
Katanya, struktur semasa juga dilihat belum mengambil kira secara menyeluruh realiti pemandu e-hailing sepenuh masa, bekerja 12 jam sehari, jarak perjalanan 300 kilometer sehari dan memerlukan anggaran 25 liter ke 30 liter sehari.
"Penggunaan ini juga adalah bergantung kepada jenis dan kapasiti enjin kenderaan yang digunakan, di mana kenderaan dengan kapasiti enjin yang lebih tinggi lazimnya mencatatkan penggunaan bahan api yang lebih besar.
"Selepas penggunaan kuota asas sebanyak 200 liter, pemandu perlu menanggung sendiri kos petrol pada harga tanpa subsidi yang kini dianggarkan sekitar RM4.02 seliter. Ini memberi kesan langsung kepada pendapatan boleh guna mereka.
"Dalam banyak keadaan, kos bahan api bukan sahaja digunakan untuk tujuan kerja, tetapi turut melibatkan keperluan asas harian seperti pergerakan bersama keluarga. Keadaan ini secara tidak langsung menjejaskan matlamat asal mereka untuk memperbaiki kedudukan kewangan isi rumah," katanya.
Sehubungan itu, LEAD Malaysia mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penambahbaikan dasar sedia ada melalui pendekatan yang lebih menyeluruh.
"Ini termasuk menilai semula struktur kuota dengan mengambil kira realiti sosioekonomi pemandu separuh masa, serta memperluaskan bentuk sokongan kepada sektor p-hailing yang kini masih belum diliputi.
"LEAD Malaysia menghargai usaha Kerajaan Madani dalam memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar, termasuk penetapan kuota bahan api bagi pemandu e-hailing dan teksi.
"Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam membantu meringankan beban kos operasi yang ditanggung oleh pemain industri mobiliti serta memastikan bantuan disalurkan secara lebih tersasar," katanya.



