Subsidiari AZRB kena satu lagi petisyen gulung tikar, Perunding ZKR tuntut RM3.94 juta bagi projek EKVE

LocalBusiness & Finance
4 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Subsidiari AZRB kena satu lagi petisyen gulung tikar, Perunding ZKR tuntut RM3.94 juta bagi projek EKVE Image from: Subsidiari AZRB kena satu lagi petisyen gulung tikar, Perunding ZKR tuntut RM3.94 juta bagi projek EKVE johardy04/08/2026 - 09:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) dikemukakan satu lagi petisyen gulung tikar selepas Perunding ZKR Sdn Bhd memfailkan tindakan itu terhadap anak syarikat milik penuhnya, Ahmad Zaki Sdn Bhd (AZSB), berhubung dakwaan tunggakan bayaran RM3.94 juta bagi kerja-kerja projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).

 

Perunding ZKR mendakwa AZSB gagal menjelaskan bayaran RM3.94 juta bagi kerja-kerja yang telah dilaksanakan di bawah projek EKVE.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan kejuruteraan dan pembinaan itu berkata, petisyen berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi pada 28 Julai lalu dan diserahkan kepada AZSB pada 31 Julai.

 

AZRB berkata, AZSB bukan anak syarikat utama kumpulan dan petisyen tersebut dijangka tidak memberi kesan kewangan atau operasi yang signifikan kepada kumpulan selain yuran guaman serta perbelanjaan berkaitan. Jumlah pelaburan AZRB dalam anak syarikat itu ialah RM165.3 juta.

 

Kumpulan itu berkata, AZSB kini sedang berbincang dengan pihak pempetisyen bagi menyelesaikan perkara berkenaan secara baik dan kekal optimis untuk mencapai penyelesaian yang memuaskan.

 

"Kelewatan membuat pengumuman mengenai petisyen itu adalah kerana kedua-dua pihak sedang mengadakan rundingan secara tulen dan dengan niat baik," kata kumpulan itu.


 

AZRB

 


Siri petisyen sejak 2024

Tindakan terbaharu itu menambah kepada beberapa siri petisyen penggulungan yang difailkan terhadap AZSB oleh kontraktor dan perunding sejak awal 2024.

 

Pada Januari 2024, Sukiada Engineering Sdn Bhd memfailkan petisyen penggulungan berhubung dakwaan bayaran tertunggak sebanyak RM168,115.25. Sebulan kemudian, Formula Mutakhir Sdn Bhd turut memfailkan petisyen dengan mendakwa tunggakan berjumlah RM118,009.13.

 

Pada Julai 2025, Giga Engineering & Construction Sdn Bhd memohon supaya AZSB digulung berhubung dakwaan tunggakan sebanyak RM5.86 juta, yang menurut AZRB akan ditentang sambil mendapatkan injunksi *Fortuna*.

 

Susulan itu, pada November 2025, Perunding ZKR dan Mentari Kencana Sdn Bhd turut memfailkan petisyen penggulungan membabitkan dakwaan tuntutan tertunggak berjumlah RM5.31 juta.

 

Bulan lalu, AZRB mendedahkan bahawa AZSB turut menerima dua lagi petisyen penggulungan daripada Tenaga Nirwana (M) Sdn Bhd dan Muhibbah Engineering Bhd berhubung dakwaan tuntutan tertunggak berjumlah RM1.78 juta, melibatkan projek Jambatan Sungai Kuantan, EKVE dan MRT.

 

Sehingga 31 Mac 2026, AZRB mempunyai tunai dan deposit berjumlah RM309.11 juta berbanding jumlah pinjaman sebanyak RM2.95 bilion. Bagi suku kewangan berakhir pada tarikh sama, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM1.66 juta dengan hasil sebanyak RM154.75 juta.

 

Kumpulan itu turut merekodkan kerugian dalam tiga daripada empat tahun kewangan yang lalu.

 

Setakat penutupan dagangan semalam, saham AZRB meningkat 0.5 sen atau 4.8% kepada 11 sen, sekali gus memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM72.4 juta. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved