Subsidiari Ecoscience terima kontrak bina kilang minyak sawit di Port Dickson bernilai RM61.8 juta
herman
12/06/2024 - 14:32
KUALA LUMPUR 12 Jun - Penyedia perkhidmatan pengilangan minyak sawit bersepadu, Ecoscience International Bhd menerusi anak syarikatnya menerima kontak pembinaan bangunan kilang prarawatan minyak sawit mentah (CPO) dan kilang metel ester sawit (PME) di Port Dickson dengan nilai RM61.8 juta.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Ecoscience berkata, surat tawaran kepada Ecoscience Manufacturing & Engineering Sdn Bhd (EMESB) itu telah dikeluarkan kepada Oiltek Sdn Bhd (OSB) pada 12 Jun 2024.
Kontrak berkenaan bernilai RM61.8 juta dan hendaklah disiapkan pada hari ke-534 dari tarikh surat tawaran, 12 Jun 2024, katanya dalam pemakluman itu.
"Surat tawaran tersebut memberikan EMESB dengan tanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan, pengadaan, pembinaan dan penyelenggaraan sivil serta struktur untuk kilang prarawatan CPO sebanyak 420 tan/hari dan kilang PME sebanyak 400 tan/hari, berserta bangunan-bangunan tambahan.
"Kerja-kerja ini perlu dilakukan di Lot 30153, Kilang Pemprosesan Port Dickson, di Daerah Port Dickson, Pekan Port Dickson, Negeri Sembilan," katanya.
Menurut Ecoscience, kontrak ini akan memberikan sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan semasa tempoh projek dengan mengandaikan tiada kelewatan bahan dalam jangka masa seperti yang dinyatakan.
"Surat tawaran tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham dan struktur pemilikan saham Syarikat," jelasnya.
Sejak ditubuhkan pada 2004, EIB merupakan penyedia penyelesaian sehenti dan kontraktor pembinaan kilang dan kemudahan minyak sawit yang memiliki keupayaan menjalankan kerja-kerja fabrikasi peralatan kilang kelapa sawit.
Selain itu mereka juga memiliki perkhidmatan lain seperti pembekalan bahan, peralatan dan alat ganti serta perkhidmatan penyelenggaraan.- DagangNews.com


