Bersempena bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, Subway Malaysia kembali meneruskan inisiatif komuniti ‘Rayakan Bersama’ 2026 sebagai tanda penghargaan kepada wira barisan hadapan yang terus berbakti kepada masyarakat sepanjang musim perayaan.

Meneruskan kejayaan penganjuran sulung pada tahun lalu, kempen tahun ini diperluaskan dengan aktiviti lapangan yang diadakan di Hospital Kuala Lumpur. Melalui program tersebut, pasukan Subway turun padang untuk mengagihkan sendiri ‘Beg Hidangan Rayakan Bersama’ kepada para petugas kesihatan sebagai simbol terima kasih atas dedikasi dan pengorbanan mereka dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
Setiap beg hidangan yang disediakan mengandungi sandwic enam inci Subway, biskut Subway bersaiz satu kaki serta minuman. Hidangan tersebut disusun rapi dan turut disertakan dengan nota peribadi sebagai sentuhan istimewa yang membawa mesej penghargaan ikhlas kepada para penerima yang terus bertugas tanpa mengira masa, termasuk ketika kebanyakan orang sedang membuat persiapan menyambut perayaan.
Selain pengagihan makanan, inisiatif ini turut mencipta detik bermakna apabila kakitangan Subway berpeluang berinteraksi secara langsung dengan para petugas hospital.

Sapaan mesra dan senyuman yang dikongsi bersama bukan sahaja menceriakan suasana, malah menyemarakkan semangat kebersamaan yang menjadi teras kepada sambutan Ramadan.
Menurut Pengarah Pemasaran Subway Malaysia, Evelyn Lee, inisiatif ‘Rayakan Bersama’ diwujudkan bagi meraikan individu yang terus berkhidmat kepada komuniti ketika orang lain menikmati waktu bersama keluarga sempena salah satu perayaan paling bermakna dalam setahun.
Beliau berkata, melihat reaksi positif serta penghargaan yang ditunjukkan oleh para petugas di lapangan mengukuhkan keyakinan bahawa walaupun tanda penghargaan yang diberikan mungkin kecil, ia tetap mampu membawa makna besar serta mewujudkan hubungan yang lebih erat antara jenama dan komuniti.
Sebagai platform tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berterusan dan bukan sekadar inisiatif bermusim, ‘Rayakan Bersama’ mencerminkan komitmen jangka panjang Subway Malaysia terhadap penglibatan komuniti serta usaha mewujudkan impak sosial yang positif.

Program ini juga menjadi sebahagian daripada usaha jenama tersebut untuk menghargai individu yang sering menjadi tulang belakang kepada perkhidmatan penting negara.
Susulan pelaksanaan aktiviti tersebut, Subway Malaysia turut merancang untuk memperluaskan capaian kempen dengan berkongsi sorotan program serta kisah-kisah penghargaan terhadap wira seharian di platform digitalnya.
Usaha ini diharap dapat memastikan dedikasi para petugas barisan hadapan terus diiktiraf walaupun selepas musim perayaan berakhir. - Getaran, 9 Mac 2026

