Pendedahan di Instagram pelakon, Zahnita mengejutkan ramai pihak termasuk rakan-rakan selebriti beliau.
Mengulas lanjut mengenai hantaran tersebut, Zahnita mendakwa dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga selama 20 tahun perkahwinannya dengan Abdul Zackery Ghouse.
Memetik laporan dari mStar, Zahnita mengatakan sudah beberapa kali berlaku kejadian serupa sehinggakan dia sudah buntu untuk mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut rumah tangganya.
Katanya, laporan polis telah dibuat sebelumnya, namun tiada tindakan susulan dibuat malah tindakan itu ujarnya berbalik kepadanya.
Zahnita turut memaklumkan telah cuba menyelamatkan rumah tangga mereka, namun usaha berkenaan adalah sia-sia.
Dia juga pernah memfailkan penceraian, namun suaminya datang memujuk dan mengambil keputusan untuk bersama semula.
Terpaksa dedahkan
Tindakan beliau mendedahkan perbuatan suaminya itu jelasnya kerana ingin mendapatkan semula anak sulungnya yang berusia 17 tahun yang kini berada bersama Zackery sejak seminggu lalu.
“Saya mahukan anak saya. Sudah seminggu lebih dia ambil anak saya dan saya sudah tidak tahu apa lagi nak buat.
“Saya terpaksa buka aib, maaf saya tidak boleh simpan lagi. Sudah 20 tahun saya bersabar,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut mengakui kesan lebam di matanya kerana dibelasah suaminya. Insiden itu berlaku katanya selepas dia mengajukan soalan mengenai hubungan suaminya dengan wanita lain.
The post ‘Sudah 20 tahun saya bersabar’ – Zahnita appeared first on The Reporter.

