Sudah dipanggil, macam-macam alasan pula – Annuar Musa

LocalPolitics
25 Oct 2026 • 9:15 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sudah dipanggil, macam-macam alasan pula – Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dinasihatkan supaya tidak mengambil alih tugas mahkamah berhubung isu mesyuarat Perikatan Nasional (PN).

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, mesyuarat berkenaan perlu diadakan susulan ketetapan mahkamah yang membenarkan PN meneruskan aktiviti parti sehingga terdapat keputusan sebaliknya.

Beliau berkata, tindakan mempertikaikan mesyuarat selepas ia dipanggil hanya menimbulkan persoalan, sedangkan semua parti komponen PN perlu berbincang bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Itulah masalah dia, kalau tak panggil, dia kata tak panggil. Bila dipanggil, macam-macam pula alasan. Sedangkan Setiausaha Agung Bersatu tidak boleh ambil alih tugas mahkamah. Bersatu bukan mahkamah. Kita menjunjung kedaulatan undang-undang.

“Mahkamah sudah buat ketetapan dan kita dibenarkan bertanding menggunakan logo, bahawa kita boleh menjalankan aktiviti sehingga mahkamah kata sebaliknya,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Pas di sini hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertikaikan perjalanan mesyuarat dan menyifatkan keputusan yang dibuat mempunyai implikasi perundangan serius sekiranya Pas dan sekutunya masih meneruskan mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam ini.

Beliau turut mengesahkan menerima surat jemputan menghadiri mesyuarat tergempar itu yang dihantar oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun, beliau telah menghantar surat balasan bagi memberikan penjelasan berhubung perkara itu kerana Seksyen 41 Akta Pertubuhan 1966 menjelaskan bahawa mana-mana pertubuhan yang telah dibatalkan pendaftarannya menjadi pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Annuar berkata, mesyuarat itu penting bagi membolehkan semua parti komponen membincangkan persiapan menghadapi PRN Melaka, selain memaklumkan keputusan mahkamah berkaitan kepada semua ahli Majlis Tertinggi.

Katanya, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah mengumumkan calon masing-masing, justeru PN juga perlu mengadakan perbincangan sebelum membuat pengumuman calon.

“Dan sebelum buat pengumuman calon, mesti kena ada perbincangan dengan parti-parti komponen. Macam mana nak elak itu?

“Maka malam ini, wajib diadakan perbincangan berkenaan dengan pilihan raya Melaka.

“Pada masa yang sama, laporan mengenai keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah tentang isu-isu yang berkaitan perlu dimaklumkan kepada semua ahli Majlis Tertinggi. Jadi, mesyuarat itu wajib,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan pendirian Bersatu dalam PN, sama ada parti itu masih komited untuk bersama gabungan berkenaan atau sebaliknya.

“Saya fikir apa yang Bersatu lakukan ini memalukan mereka sendiri. Perkara ini akan berbalik kepada mereka dan orang akan bertanya apa sebenarnya hasrat Bersatu?

“Adakah Bersatu masih bersedia bersama Perikatan Nasional? Atau mereka sebenarnya mahu melihat Perikatan Nasional hancur?” katanya.

Annuar turut mendakwa Bersatu beberapa kali melanggar disiplin gabungan, termasuk bertanding menentang calon parti sendiri.

Katanya, semua parti politik perlu dinilai berdasarkan tindakan mereka oleh rakyat, bukannya penilaian sendiri terhadap pendirian masing-masing.

“Kita kena konsisten. Kalau kita menjunjung kedaulatan undang-undang, buktikanlah.

“Kalau kita menjadi penghalang, nak menyekat sana, nak menyekat sini, tak panggil mesyuarat, kita buat aduan, panggil mesyuarat, kita bagi alasan,” katanya.

Beliau berkata, Bersatu sepatutnya hadir ke mesyuarat berkenaan untuk membincangkan sebarang bantahan atau perbezaan pandangan bersama parti komponen lain.

“Kalaulah Bersatu rasa dia ada pendapat yang mesyuarat malam ini tak boleh diadakan, datanglah. Duduklah minum-minum kopi dulu.

“Kalau semua, kita ada enam parti, kena dengarlah daripada lima yang lain. Jadi kita boleh duduk sama-sama bincang. Kalau semua bersepakat dengan Bersatu dan kita putuskan mesyuarat malam ini hanya perjumpaan biasa. Tetapi jangan buat kenyataan,” katanya.-UTUSAN

The post Sudah dipanggil, macam-macam alasan pula – Annuar Musa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved