
PETALING JAYA: Isu semakan kehakiman dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka antara perkara yang akan dibincangkan serta diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) malam esok.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, notis mesyuarat sudah dikeluarkan kepada semua parti anggota dan wakil masing-masing untuk menghadiri pertemuan berkenaan.
Beliau juga berharap isu membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibincangkan secara bersemuka dalam mesyuarat tersebut.
“Elok kita bersemuka dalam mesyuarat. Elok kita bincang tanggungjawab parti anggota. Elok kita buat pendirian apa konsensus kita sebenarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
PN akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan kedudukan gabungan itu termasuk isu perundangan dan persiapan menghadapi PRN Melaka.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat itu akan melibatkan semua parti komponen termasuk Bersatu.
Katanya, keputusan mahkamah yang menangguhkan penggantungan aktiviti dan pembatalan PN membolehkan gabungan itu kembali menjalankan aktiviti serta mengadakan mesyuarat seperti biasa. – UTUSAN
The post PN putuskan isu semakan kehakiman, PRN Melaka esok appeared first on Utusan Malaysia.





