Sudah tiba masa alih 'pangkalan' PADU, manfaat 'pelabuhan’ BUDI - Mohd Syahir

LocalPolitics
21 Apr 2026 • 7:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sudah tiba masa alih 'pangkalan' PADU, manfaat 'pelabuhan’ BUDI - Mohd Syahir
Mohd Syahir

SHAH ALAM – Kerajaan digesa mengalihkan peranan Pangkalan Data Utama (PADU) dan mempertimbangkan penggunaan sistem BUDI sebagai platform dalam penyasaran subsidi.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, setelah lebih dua tahun dilancarkan, prestasi PADU dilihat masih belum memberi kesan kepada rakyat, khususnya dalam menangani ketirisan dan memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran.

Ujar beliau, pelaksanaan subsidi petrol dan diesel ketika ini juga lebih cenderung menggunakan platform BUDI berbanding PADU, sekali gus menimbulkan persoalan berkaitan tujuan asal inisiatif di bawah Kementerian Ekonomi itu.

“Mandat dan pertindihan bidang kuasa perlu dijernihkan, sama ada (PADU) diteruskan di bawah Kementerian Ekonomi atau sewajarnya diletakkan di bawah mandat Kementerian Digital mahupun Jabatan Perdana Menteri.

“Terserah kepada Kabinet untuk menentukan hala tuju seterusnya. Namun jika dihitung kembali tempoh dua tahun ini, mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan mengalihkan 'pangkalan' PADU, dan manfaatkan ‘pelabuhan’ BUDI bagi tujuan penyasaran subsidi,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, PADU dibangunkan pada 2023 dengan menggunakan 100 peratus kepakaran penjawat awam bagi mengurangkan risiko kebocoran data kepada pihak ketiga.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan sistem PADU akan memberi penekanan kepada aspek pelaksanaan serta peluasan perkhidmatan, khususnya dalam menawarkan analitik data kepada agensi kerajaan bagi menyokong proses membuat keputusan yang lebih berkesan.

Menurut Mohd Syahir, pendekatan tersebut menandakan peralihan fungsi PADU daripada platform pengumpulan dan verifikasi data kepada instrumen perkhidmatan yang turut menyediakan analisis mendalam.

“Perkembangan ini menimbulkan persoalan penting tentang konsistensi dasar, ketelusan fiskal dan tadbir urus data negara.

“Persoalannya, adakah ini suatu bentuk peluasan fungsi, atau petanda berlakunya peralihan haluan apabila tujuan asal PADU berdepan cabaran pelaksanaan.

“Berbalik kepada perkhidmatan analitik data yang hendak ditawarkan, jalur birokrasi berkenaan dikhuatiri akan merencatkan pengoperasiannya,” ujar beliau.