Suhaimi Saad ditidurkan di ICU, sempat mohon maaf

14 Nov 2023 • 10:05 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suhaimi memohon maaf menerusi akaun TikTok miliknya sebelum ditidurkan.

"SS (Suhaimi Saad) minta maaf zahir dan batin dari korang (anda) semua. Terima kasih atas perkenalan dan segala kebaikan korang."

Itu antara perkongsian yang dibuat bekas anggota nasyid kumpulan In-Team, Suhaimi Saad pada 5 November lalu menerusi akaun TikTok miliknya.

Setakat Isnin, suami kepada Ina Naim itu dilaporkan sudah ditidurkan dan bergantung alat bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Johor kerana mengalami kegagalan organ dalaman.

Difahamkan, Suhaimi mengalami masalah batuk kronik sejak empat bulan lalu dan cirit-birit sejak tiga bulan lalu serta berat badannya turun mendadak.

Disebabkan keadaannya semakin membimbangkan, bapa mertuanya telah membawa Suhaimi ke Johor untuk mendapatkan rawatan.

Terdahulu, seorang wanita yang dikenali sebagai Ayu Wahyu Abudin turut meminta orang ramai mendoakan sepupunya itu kembali pulih.

“Mohon sahabat-sahabat di Facebook doakan kesihatan sepupu saya, Suhaimi Bin Saad yang ditidurkan di ICU Hospital Johor.

“Semoga antara doa kalian ada yang diangkat doanya... Semoga sepupu kembali sedar dan sihat seperti dulu,” kongsinya menerusi Facebook.

Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan komen Ina Naim setakat ini masih belum berhasil.

Sekadar info, Suhaimi berkahwin dengan penyanyi, Ina Naim pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.