Suhakam, PDRM lakukan kajian elak kematian tahanan lokap - PM

LocalPolitics
9 Sep 2024 • 5:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar ketika merasmikan Sambutan Jubli Perak Hari Suhakam ke-25 di KL Sentral pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan kajian dan siasatan bagi mengelakkan kematian dalam tahanan.

Perdana Menteri, Datuk Sei Anwar Ibrahim berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain terbuka untuk membetulkan persepsi dan keadaan bagi memastikan kaedah yang lebih telus untuk mengelakkan salah guna kuasa.

“Yang menyiasat itu polis dan yang menjatuhkan hukum itu hakim, jadi sebelum dijatuhkan hukum mereka itu jangan dihukum terlebih dahulu.

“Saya cakap berdasarkan pengalaman tapi Pengerusi Suhakam, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus antara yang pertahankan masa saya kena belasah dulu, belum didakwa pun dah kena belasah setengah mati.

“Jadi kalau orang bercakap ada kebimbangan penderaan atau kematian dalam lokap tak perlu yakinkan saya, kerana saya tahu apa yang saya rasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Jubli Perak Hari Suhakam ke-25 di KL Sentral pada Isnin.

Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Suhakam kerana berjaya dalam peranannya menegakkan hak asasi dan keadilan untuk rakyat di negara ini.

"Saya ingin menyatakan penghargaan pada Suhakam kerana saya dan Azizah serta keluarga adalah di antara yang terus ke pejabat Suhakam masa saya dalam kesusahan dulu.

"Dan ini cukup bukti bahawa saya faham peranan Suhakam dari segi pengalaman peribadi dan saya percaya ribuan yang lain merasakan perlu dibantu Suhakam kerana peranannya mempertahan hak asasi dan keadilan bagi semua,"katanya.