
Sujud Syukur Selepas Menang Penalti, Aksi Maghribi Sentuh Hati Penonton
Detik penuh makna yang dipamerkan skuad Maghribi sebelum aksi penentuan penalti menentang Belanda di Piala Dunia 2026 mencuri perhatian ramai, lapor Gulf News.
Sebelum berdepan tekanan sepakan penalti, pemain-pemain Maghribi bersama ketua jurulatih, Mohamed Ouahbi dilihat berkumpul membentuk bulatan sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran dan berdoa.
Momen itu berlaku sejurus sebelum aksi pusingan 32 terbaik yang menyaksikan Maghribi menewaskan Belanda 3-2 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Kemenangan itu sekali gus membawa skuad The Atlas Lions mara ke pusingan 16 terbaik.
Apa yang lebih mencuri perhatian, sebaik Ismael Saibari menyempurnakan sepakan kemenangan, pemain dan barisan kejurulatihan Maghribi terus melakukan sujud syukur sebagai tanda terima kasih kepada Allah sebelum meraikan kejayaan bersama.
Menurut laporan itu, amalan tersebut bukan sesuatu yang baharu bagi skuad Maghribi kerana mereka sudah lama menjadikan doa dan sujud sebagai sebahagian daripada perjalanan pasukan, sama ada ketika menang mahupun kalah.
Antara pemain yang sinonim dengan pegangan itu ialah Noussair Mazraoui yang kini beraksi bersama Manchester United F.C..
Mazraoui sebelum ini pernah berkongsi secara terbuka mengenai kepentingan Islam dalam hidupnya serta hasrat untuk menghafal al-Quran dan meneruskan pengajian agama selepas bersara daripada bola sepak.
Dalam perlawanan itu, beliau sekali lagi menjadi tonggak utama benteng Maghribi sebelum penjaga gol Yassine Bounou muncul wira dengan satu aksi menyelamat penting.
Saibari yang kini turut mencuri tumpuan selepas menyertai FC Bayern Munich juga terus mempamerkan prestasi cemerlang apabila sudah menjaringkan tiga gol dalam empat perlawanan setakat ini.
Maghribi kini bakal berdepan Canada bagi perebutan tiket ke suku akhir, meneruskan impian besar mereka di pentas dunia.


