
SEREMBAN: Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan terhadap proklamasi bagi menurunkan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Dalam kenyataan malam ini, pejabat itu memberitahu, ini kerana langkah sedemikian akan menjadi suatu tindakan yang tidak sah serta tidak berperlembagaan.
Pejabat itu merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim hari ini berkaitan arahan untuk mewartakan proklamasi bertarikh 19 April lalu.
“Sehubungan dengan itu, pentadbiran ini telah merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi memastikan bahawa apa juga tindakan yang perlu diambil akan dilaksanakan mengikut undang-undang semasa dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Selanjutnya, Jabatan Peguam Negara melalui satu kenyataan media hari ini telah menyatakan antara lain bahawa proklamasi bertarikh 19 April lalu adalah tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959,” kata kenyataan tersebut.
Daripada segi perundangan juga, kenyataan itu menambah, pentadbiran itu akur dengan pandangan Jabatan Peguam Negara bahawa ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti mahupun kuasa di bawah UUTKNS 1959 untuk membuat pengumuman berkenaan proklamasi tersebut.
Selain itu, kata kenyataan itu, tiada asas di sisi undang-undang bagi ahli MMKN untuk bersandar kepada proklamasi bertarikh 19 April lalu bagi pengumuman mereka.
“Berdasarkan perkara-perkara di atas dan keseluruhan kenyataan media Jabatan Peguam Negara, pentadbiran ini menerima nasihat berkenaan dan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan terhadap proklamasi tersebut kerana tindakan sedemikian akan menjadi suatu tindakan yang tidak sah serta tidak berperlembagaan,” katanya lagi.-UTUSAN
The post SUK Negeri Sembilan tidak akan wartakan proklamasi appeared first on Utusan Malaysia.





.jpg)
