Proklamasi tidak akan diwartakan

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 8:12 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Proklamasi tidak akan diwartakan

SEREMBAN — Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap Proklamasi bertarikh 19 April 2026 selepas menerima nasihat Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa proklamasi berkenaan adalah tidak sah.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dalam kenyataan berkata, pentadbiran negeri merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi memastikan apa jua tindakan yang perlu diambil dilaksanakan mengikut undang-undang semasa dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).

Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan susulan kenyataan Menteri Besar semalam ketika sesi temu ramah dengan pengamal media berkaitan arahan untuk mewartakan Proklamasi bertarikh 19 April 2026.

“Selanjutnya, Jabatan Peguam Negara melalui satu kenyataan media semalam juga telah menyatakan antara lain bahawa Proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959,” menurut kenyataan itu.

Dari segi perundangan, pentadbiran negeri turut akur dengan pandangan Jabatan Peguam Negara bahawa ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti mahupun kuasa di bawah UUTKNS 1959 untuk membuat pengumuman berkenaan proklamasi tersebut.

Selain itu, menurut kenyataan berkenaan, tiada asas di sisi undang-undang bagi ahli MMKN untuk bersandar kepada Proklamasi bertarikh 19 April 2026 bagi membuat pengumuman mereka.

“Berdasarkan perkara-perkara di atas dan keseluruhan kenyataan media Jabatan Peguam Negara semalam, pentadbiran ini menerima nasihat berkenaan dan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan terhadap Proklamasi tersebut kerana tindakan sedemikian akan menjadi suatu tindakan yang tidak sah serta tidak berperlembagaan,” menurut kenyataan itu.- KOSMO! ONLINE

The post Proklamasi tidak akan diwartakan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved