Suka Bercucuk Tanam Tapi Tak Jaga Betul Sampai Ada Yang Mati & Rosak? Ini Hukum Abaikan Tanaman Dalam Islam

3 Jul 2026 • 5:06 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bercucuk tanam seperti menanam pokok bunga merupakan antara hobi serta aktiviti kegemaran kebanyakan individu.

Namun kadangkala, ada yang tidak dapat memberi perhatian khusus menjaga tumbuhan sebegini sehingga ia menjadi rosak dan mati.

Persoalannya, adakah perbuatan sebegini dibenarkan dalam Islam? Apakah hukum tidak menjaga tumbuhan yang ditanam dengan baik?

Aktiviti Bercucuk Tanam Digalakkan Dalam Islam – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Menurut laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, aktiviti bercucuk tanam amat digalakkan dalam Islam.

Ia berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Ra’d ayat ke-4:


وَفِي الْأَرْضِ قِطَعٌ مُّتَجَاوِرَاتٌ وَجَنَّاتٌ مِّنْ أَعْنَابٍ وَزَرْعٌ وَنَخِيلٌ صِنْوَانٌ وَغَيْرُ صِنْوَانٍ يُسْقَىٰ بِمَاءٍ وَاحِدٍ وَنُفَضِّلُ بَعْضَهَا عَلَىٰ بَعْضٍ فِي الْأُكُلِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

“Maksudnya: Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya,” tulis mereka.

Pemilik Dapat Ganjaran Jika Tanaman Beri Manfaat Kepada Makhluk Allah SWT Yang lain

Malah, kegiatan bercucuk tanam juga mempunyai kelebihannya tersendiri.

Ini kerana pemilik tanaman atau penanam boleh mendapat ganjaran pahala yang berterusan jika tanaman itu memberi manfaat kepada makhluk Allah SWT yang lain.

“Anas bin Malik R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ إِلاَّ كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَةٌ

“Maksudnya: Tiada seorang Muslim yang menanam pokok atau menghidupkan tanah dengan tanaman, lalu burung, manusia atau binatang makan daripada hasil tanamannya, melainkan ia dikira sebagai sedeqah. Sahih al-Bukhari (2320) dan Sahih Muslim (1553),” terang laman itu lagi.

Pahala Berterusan Kepada Pemilik Selagi Tanaman Masih Hidup

Jelas laman itu lagi, seseorang akan menerima pahala sedekah yang berterusan selagi tanaman masih hidup meskipun pemilik telah mati atau tanaman bertukar pemiliknya.

“Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, pahala sedeqah ini berterusan selagi mana tanaman itu masih hidup, sekalipun penanam atau pemilik tanaman telah mati, atau tanaman itu bertukar pemiliknya,” kata mereka.

Makruh Jika Sengaja Tak Jaga Tanaman Hingga Rosak & Mati

Menjawab persoalan tentang hukum seseorang yang sengaja mengabaikan tanaman sehingga rosak atau mati, jelas laman berkenaan hukumnya adalah makruh.

“Menurut Imam al-Nawawi, hukumnya ialah makruh jika seseorang itu tidak menyiram tanam-tanaman dan pokok-pokok sedangkan dia mampu berbuat demikian, kerana ia termasuk di bawah bab mensia-siakan harta (idha’ah al-mal),” jelasnya.

Namun, jika individu itu tidak dapat menyiram mahupun menjaga tanaman disebabkan faktor sibuk, hukumnya tidak makruh.

“Imam Ibn Hajar al-Haitami pula menambah bahawa jika tidak menyiram dan menjaga tanaman disebabkan kesibukan, maka hukumnya tidak makruh.

“Beliau juga menyatakan bahawa meskipun ia disifatkan sebagai mensia-siakan harta, ia tidak dihukum sebagai haram. Hal ini kerana idha’ah al-mal yang diharamkan adalah seperti mencampakkan wang ke dalam laut, di mana ia merupakan satu bentuk penyia-nyiaan harta secara terus dan langsung,” terang mereka.

Pun begitu, perbuatan mengabaikan tanaman bercanggah dengan syarak memandangkan Islam menyarankan agar berlaku ihsan serta berbuat baik terhadap semua makhluk.

Baca Artikel Berkaitan: Asal Cantik Je Nak Petik! Ini Hukum Ambil Bunga Atau Pokok Di Tepi Jalan Untuk Kegunaan Sendiri

Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Pokok Yang Ditanam Atas Kubur Mendoakan Si Mati? Ini Jawapan UAI [Video]

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved