Suka Bertukar Duka, Graduan Terima Berita kematian Bapa Ketika Tunggu Giliran Ambil Skrol

Entertainment
6 Nov 2023 • 5:29 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Majlis graduasi atau konvokesyen sememangnya sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh siswa dan siswi yang sudah berusaha menamatkan pengajian mereka.

Meskipun ia antara momen terindah dalam hidup namun apa yang terjadi kepada seorang graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ini sangat sukar untuk ditelan.

Haslina Kalang yang merupakan graduan Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa itu menerima berita duka apabila ayahnya difahamkan telah meninggal dunia beberapa minit sebelum dia mengambil skrol.

image is not available

Menurut laporan Berita Harian, Suasana pilu jelas terasa dalam dewan itu, apabila Haslina dipeluk Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan, Prof Madya Dr Syarilla Iryani Ahmad Saany, di hadapan Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Mohd Yusof Noor dan Pengurusan Tertinggi UniSZA di atas pentas yang turut berkongsi kesedihan graduan itu.

Difahamkan, graduan itu menghubungi ibunya untuk bertanyakan keadaan bapanya namun dia tidak sempat berbual dengan bapanya kerana dia sedang mandi.

“Bagaimanapun, ketika berada dalam dewan dan kira-kira 15 minit gilirannya naik ke pentas, saya menerima panggilan daripada jiran memaklumkan bapa sudah meninggal dunia,” katanya.

Haslina berkongsi dia sendiri seakan keberatan untuk menghadiri majlis tersebut memandangkan bapanya sedang sakit angin ahmar sejak tahun lalu namun, bapanya sendiri meminta untuk dia menghadiri konvokesyen itu.

Sepatutnya dia akan pulang semula ke Tawau, esok, namun Haslina mengambil keputusan balik dengan segera hari ini bersama kakak.

Salam takziah…

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.