Sukan Asia: Shahmalarani sumbang emas ketiga Malaysia

23 Sep 2026 • 3:13 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukan Asia: Shahmalarani sumbang emas ketiga Malaysia

KUALA LUMPUR – Kem karate negara terus memperagakan aksi cemerlang apabila sekali lagi menyumbang pingat emas buat kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menerusi Shahmalarani Chandran dalam acara kumite bawah 50 kilogram (kg) wanita.

Pada aksi final yang berlangsung di Gimnasium Toyohashi hari ini, atlet berusia 28 tahun itu memastikan kemenangan menjadi miliknya selepas menewaskan atlet berpengalaman dari Hong Kong, Tsang Yee Ting.

Pertarungan akhir itu berlangsung cukup sengit apabila kedua-dua atlet mengambil pendekatan berwaspada dengan kedudukan 0-0 kekal hingga ke penghujung saingan walaupun Shahmalarani ada melakukan serangan saat akhir.

Bagaimanapun, tuah nyata memihak kepada Shahmalarani apabila diberikan kemenangan secara ‘hantei’, iaitu menerusi keputusan juri yang membuat penilaian berdasarkan aksi lebih kemas sepanjang pertarungan.

Dalam laluannya ke pentas final, pemenang tiga pingat emas Sukan SEA itu menyingkirkan atlet Bangladesh, Saiama Jaman 5-4 di suku akhir sebelum menewaskan juara dunia dari Uzbekistan, Gulshan Alimardanova 3-2 di pentas separuh akhir.

Sementara itu, pada saingan yang berlangsung lebih awal, trio Mukhriz Mazlan, Mohamad Haznil Henry dan Muhammad Aiqal Asmadie turut memastikan pingat gangsa menjadi milik Malaysia menerusi acara kata berpasukan lelaki.

Pada aksi penentuan pingat gangsa itu, barisan atlet negara mempamerkan aksi cukup baik dan kemas bagi mencatat kemenangan 3-2 ke atas Vietnam.

Setakat ini, pasukan karate merupakan skuad paling cemerlang pada Sukan Asia 2026 apabila sudah menyumbang lima pingat, termasuk dua pingat emas dan tiga pingat gangsa. – KOSMO! ONLINE

The post Sukan Asia: Shahmalarani sumbang emas ketiga Malaysia appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved