Sukan Asia: Skuasy sahkan dua pingat menerusi acara berpasukan

28 Sep 2023 • 8:22 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

HANGZHOU: Skuad skuasy lelaki dan wanita negara tidak berdepan masalah untuk mengesahkan tiket ke pusingan separuh akhir acara berpasukan sekali gus mengesahkan sekurang-kurangnya pingat gangsa bagi kedua-dua acara berkenaan.

Selepas mudah membenam Filipina dan Korea Selatan 3-0 semalam, pasukan lelaki yang hadir dengan status juara bertahan, menewaskan Jepun pada aksi ketiga Kumpulan B dengan keputusan 3-0 di Pusat Pameran Antarabangsa Hangzhou, di sini, hari ini.

Jepun memberikan sedikit cabaran pada perlawanan pertama sebelum Ivan Yuen bangkit menewaskan Tomotaka Endo 6-11, 11-4, 4-11, 11-6, 11-6 selepas bertarung selama 63 minit.

Ng Eain Yow kemudian mengalahkan Ryunosuke Tsukue 11-7, 6-11, 13-11, 11-6, manakala Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar (gambar) mudah membenam Naoki Hayashi 11-5, 11-6, 11-4.

Malaysia kemudian mudah menjinakkan Thailand 3-0 dengan Muhammad Addeen hanya mengambil 13 minit untuk tundukkan Ravipun Limphaiboon 11-4, 11-1, 11-1.

Eain Yow menyumbang mata kedua dengan menewaskan Arkaradet Arkarahirunya 11-4, 11-1, 11-4, diikuti kemenangan Mohammad Syafiq Mohd Kamal ke atas Natthapat Theerasilp 11-1, 11-1, 11-2 untuk mengesahkan slot ke separuh akhir.

Namun, pasukan negara berdepan cabaran sengit menentang Hong Kong, yang juga telah memenangi keempat-empat perlawanan setakat ini untuk menentukan juara kumpulan, esok.

Sementara itu, pasukan wanita yang merupakan pemenang pingat gangsa edisi lepas, menewaskan Macao 3-0 pada aksi Kumpulan B selepas membenam Nepal dan Pakistan dengan keputusan sama semalam.

Aifa Azman memulakan saingan dengan menewaskan Yeung Wai Leng 11-1, 11-2, 11-3, kemudian S. Sivasangari mengatasi Liu Kwai Chi 11-6, 11-2, 11-2, manakala Aira Azman mengalahkan Leong Ieng Lam 11-7, 11-2, 11-2.

Pasukan itu bakal bertemu India pada esok untuk menentukan juara kumpulan. -Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved