
KUALA LUMPUR - Usaha memperkenalkan sukan baharu dilihat mampu memberi nilai tambah kepada ekosistem dan industri sukan negara.
Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik perkembangan berkenaan, yang amat relevan dengan senario semasa.
Menurut beliau, evolusi zaman menyaksikan bilangan sukan di bawah Jadual Pertama Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) turut bertambah.
“Sekarang ini ada 103 jenis sukan, berbanding hanya 39 sebelumnya dan ia mencakupi pelbagai disiplin moden, tradisional dan digital.
“Ini satu perkembangan yang amat baik kerana membuka lebih banyak peluang untuk golongan belia terbabit dalam sukan secara lebih serius,” katanya selepas penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan Digital Dodgeball Negara di Shah Alam hari ini.
Jelas Suhardi, kementerian juga telah menyarankan agar Persatuan Sukan Dodgeball menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF).
“Kerjasama ini pastinya akan memberi nilai tambah kepada pembangunan sukan digital dodgeball untuk muncul sebagai kegemaran ramai pada masa akan datang," katanya.
Pasukan dodgeball digital negara melakar sejarah apabila terpilih untuk beraksi di Piala Dunia HADO 2025 di Shanghai, China, dari 23 hingga 25 Mei ini.
HADO ialah sukan berasaskan realiti tambahan yang semakin digilai generasi muda dan dilihat berpotensi tinggi untuk mengangkat nama negara. - Getaran, 6 Mei 2025



