
Temasya Sukan Olimpik Remaja Dakar 2026 menyaksikan kem akuatik negara terus mempamerkan aksi bertenaga menerusi dua perenang muda, Shannon Tan Yan Qing dan Loo Cheng Feng.
Tumpuan terarah apabila Shannon Tan melangkah ke saingan akhir acara 200 meter (m) kuak kupu-kupu wanita. Berdepan barisan perenang elit dunia, Shannon mempamerkan renangan kental dan terpuji untuk mencatatkan masa 2 minit 19.26 saat sekali gus menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam keseluruhan.
Acara tersebut dimenangi oleh perenang China, Mohan Chang, yang merangkul pingat emas dengan masa 2:09.93 saat. Kejayaan mara ke final dan menempatkan diri dalam kelompok enam terbaik dunia ini membuktikan kematangan serta potensi besar Shannon di pentas tertinggi.
Sementara itu, dalam aksi saringan awal acara 200m gaya bebas lelaki, Loo Cheng Feng, berdepan cabaran sengit daripada barisan jaguh renang antarabangsa. Cheng Feng menamatkan renangannya dengan catatan masa 1:58.72 saat untuk berada di kedudukan ke-26 keseluruhan, sekali gus terlepas slot ke peringkat akhir.
Kem akuatik Malaysia melabuhkan tirai saingan edisi kali ini dengan persembahan berdaya saing tinggi apabila dua perenang negara, berjaya menembusi empat pentas final. Cheng Feng mencuri tumpuan dalam acara pecut selepas menamatkan saingan 50 meter gaya bebas di tempat keempat keseluruhan dengan catatan 23.25 saat --hanya dipisahkan 0.21 saat daripada pingat gangsa. Sementara itu, Shannon membuktikan kehebatannya di peringkat elit apabila muncul finalis dalam tiga acara berbeza, termasuk menduduki tempat keenam dalam 200m kuak kupu-kupu (2:19.26s) serta tempat kelapan dalam 100m kuak kupu-kupu dan 200m rampaian individu.




