
SKUAD besbol negara menerima tamparan awal pada Sukan SEA Thailand 2025 apabila dibelasah Indonesia 10-0 dalam aksi pembukaan di Stadium Besbol, Pusat Sukan Ratu Sirikit, Pathum Thani pada Jumaat.
Ketua jurulatih negara Jimmy Smiley berkata, kekalahan besar itu berpunca daripada kelemahan pemain mengekalkan tumpuan sepanjang perlawanan.
Menurut Smiley, Malaysia kini berdepan tugas wajib menang menentang Vietnam esok bagi menghidupkan peluang memburu pingat gangsa seperti disasarkan.
Beliau optimis skuad negara masih mampu mencipta kejutan bagi kembali berada di landasan yang betul.
Dalam perlawanan lain, Singapura membenam Laos 13-1, manakala tuan rumah Thailand menewaskan Vietnam 3-0.
Edisi ke-33 temasya dwitahunan itu akan membuka tirai rasmi pada 9 Disember dan berlangsung di Bangkok serta Chonburi sebelum melabuhkan tirai pada 20 Disember. -Bernama

