Sukan Sea: Sharmendran dipilih bawa Jalur Gemilang di Kemboja

27 Apr 2023 • 3:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sharmendran - Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Jaguh karate negara, R Sharmendran diberi kepercayaan membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan rasmi Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh, Kemboja, pada 5 Mei ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, antara sebab Sharmendran dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara tersebut adalah kerana atlet berusia 30 tahun itu merupakan prospek emas negara kali ini.

“Selepas meneliti senarai pendek yang merangkumi tujuh calon, MOM memilih Sharmendran untuk diberi penghormatan ini berdasarkan dua kriteria – prospek pingat dan pengalaman,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook MOM hari ini.

Sharmendran kini sedang memburu pingat emas keempat berturut-turut dalam kategori kumite lelaki 75 kilogram (kg), selepas muncul juara acara sama sejak edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Beliau bakal menjadi wakil karate kedua menjadi pembawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan temasya sukan dwitahunan itu, selepas R. Puvaneswaran diberikan penghormatan melakukannya pada Sukan SEA 2003 di Hanoi, Vietnam.

Sukan SEA 2023 akan berlangsung sehingga 17 Mei ini. - Bernama