
PETALING JAYA – Beberapa ibu bapa tidak menyangka anak mereka mengalami masalah rabun jauh dengan tahap lebih 1,000, sebelum mengetahuinya selepas pemeriksaan mata.
Seorang ibu, Zuraini Mohd., 35, berkata, dia terkejut apabila anak perempuannya yang baru berusia enam tahun disahkan mengalami rabun jauh dengan kadar 1,100 pada mata kiri dan 750 pada mata kanan.
“Umur enam tahun dah kena pakai cermin mata. Saya memang tak sangka rabun jauh dia sangat tinggi, 1,100 sebelah kiri dan 750 sebelah kanan, tambah pula silau pada kedua-dua belah mata.
“Saya memang terkejut pada mulanya, tetapi untuk kebaikan dia, sekarang saya dah perlahan-lahan boleh terima,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad.
Menurutnya, masalah itu hanya mula dikesan selepas klinik kesihatan menjalankan pemeriksaan mata di sekolah.
“Saya terus bawa dia periksa di kedai cermin mata berdekatan sebelum mereka rujuk kami ke pusat pakar mata. Doktor kemudian sarankan dia memakai cermin mata,” katanya.
Seorang lagi ibu kepada kanak-kanak berusia empat tahun, Syafieza Kasim, 32, berkata, dia mula mengesyaki sesuatu apabila anaknya kerap menggosok mata sehingga bahagian bawah mata kelihatan gelap.
“Dia juga kadangkala akan tutup sebelah mata apabila tengok televisyen. Dari situ saya mula rasa macam ada sesuatu yang tidak kena.
“Apabila buat pemeriksaan, rupanya dia rabun dan kedua-dua mata power 400,” katanya.
Katanya, anaknya tidak pernah menggunakan telefon bimbit, namun sebelum ini tempoh menonton televisyen tidak dikawal dengan ketat.
Wan Sarah Rahim, 30, pula berkata, masalah penglihatan anaknya berusia lima tahun hanya disedari selepas kanak-kanak itu mengalami kesukaran melihat titik pada tulisan Jawi di sekolah.
“Rupanya dia memang rabun sejak kecil. Masa diperiksa, tahap penglihatannya sekitar 80 peratus sahaja. Selepas enam bulan pakai cermin mata, penglihatannya meningkat lebih 90 peratus.
“Ketika ujian mata dilakukan, anak saya langsung tidak dapat membaca dua baris tulisan paling bawah dan kemudian disahkan mempunyai rabun sekitar power 300 pada kedua-dua belah mata,” katanya.
The post Sukar lihat titik tulisan Jawi petanda rabun appeared first on Kosmo Online.




