Sukarelawan Orang Asli mohon pertimbang lesen malim gunung

LocalTravel
4 Jun 2026 • 9:38 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sukarelawan Orang Asli mohon pertimbang lesen malim gunung
Chew Ho Beng (kanan) bersama sebahagian daripada 22 sukarelawan Orang Asli membuat persiapan sebelum memulakan pendakian bagi misi mencari pendaki, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak Ahad lalu, ketika tinjauan di Kampung Ampang Woh. Foto fail Bernama
Image from: Sukarelawan Orang Asli mohon pertimbang lesen malim gunung
Jaslinda
Image from: Sukarelawan Orang Asli mohon pertimbang lesen malim gunung
Tok Batin Kampung Ampang Woh, Bah Lilit, 52, bersama sebahagian daripada 22 sukarelawan Orang Asli membuat pemeriksaan laluan permulaan pendakian yang akan digunakan bagi misi mencari pendaki, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak Ahad lalu, ketika tinjauan di Kampung Ampang Woh. Foto fail Bernama

 

TAPAH - Pemberian lesen malim gunung kepada sukarelawan Orang Asli yang membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita di Gunung Batu Putih di sini wajar dipertimbangkan ekoran mereka mempunyai pengetahuan mendalam mengenai selok-belok kawasan hutan itu.

Penyelaras sukarelawan berkenaan yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak bagi masyarakat Orang Asli, Chew Ho Beng berkata, cadangan itu dilihat mampu mengurangkan risiko kejadian pendaki sesat atau hilang, selain memudahkan usaha pengesanan sekiranya berlaku kecemasan di kawasan terbabit.

"Kelebihan utama komuniti Orang Asli adalah kemampuan mereka memahami persekitaran hutan secara mendalam termasuk laluan serta tanda alam yang sukar dikenal pasti oleh orang luar.

"Bukan niat untuk memperkecilkan mana-mana pihak, cuma dengan sedikit kelebihan yang ada pada mereka boleh membantu para pendaki serta mengurangkan risiko sesat atau hilang ketika melakukan aktiviti pendakian,” katanya kepada Bernama.

ARTIKEL BERKAITAN: Jaslinda tinggal nota di puncak Gunung Batu Putih

'Ibu lasak dan berani' - Keluarga yakin Jaslinda mampu bertahan

Kronologi kehilangan Jaslinda

Pasukan SAR bermalam di puncak, operasi jejak Jaslinda dipergiat

**media[3539833]**

Semalam, seramai 22 sukarelawan Orang Asli suku Semai telah memulakan perjalanan ke Kem Sukaneka serta Gunung Rayu bagi mengesan Jaslinda Saludin, 49, yang hilang sejak 24 Mei lepas ketika melakukan pendakian di gunung berketinggian 2,132 meter itu.

Ho Beng berkata, sekiranya cadangan itu direalisasikan, lesen berkenaan boleh dihadkan penggunaannya hanya di Gunung Batu Putih memandangkan sukarelawan yang terlibat mempunyai kepakaran khusus terhadap kawasan itu.

"Sebab itu saya melihat tiada masalah jika lesen yang diberikan hanya terpakai di Gunung Batu Putih. Niat mereka hanya untuk mencari rezeki dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman yang mereka ada situ,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, rata-rata sukarelawan terbabit tidak mempunyai pekerjaan tetap, justeru peluang berkenaan bukan sahaja membantu menyediakan sumber pendapatan yang lebih stabil, malah memberi pengiktirafan terhadap kepakaran mereka.

"Pengiktirafan terhadap Senoi Praaq sebelum ini membuktikan bahawa kemahiran masyarakat Orang Asli dalam selok-belok hutan sememangnya diiktiraf berdasarkan kepakaran mereka di lapangan.

**media[3539841]**

"Kemahiran yang sama juga sedikit sebanyak ada pada sukarelawan ini. Jadi, saya fikir mengapa tidak diberikan peluang sama (lesen malim gunung) kepada mereka untuk membuktikan keupayaan yang dimiliki,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pasukan SAR jumpa botol air, bungkusan milik Jaslinda

Ops Gunung Batu Putih: Jaslinda mungkin tersasar, pencarian diteruskan

Ops Gunung Batu Putih: Operasi ditangguhkan, pencarian esok fokus Gunung Rayu

Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki, bagaimanapun kerani di sebuah syarikat swasta itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei. - Bernama