Sukipt: Umar Fareed intai sarung jersi negara

5 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukipt: Umar Fareed intai sarung jersi negara

BEKAS penembak kebangsaan, Umar Fareed Faroukh menjadikan kejayaan meraih pingat emas pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 sebagai pembakar semangat untuk kembali merebut tempat dalam skuad negara.

Mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM), Umar mengungguli final 10 meter (m) air pistol lelaki dengan mengumpul 233.9 mata, mengatasi Muhammad Zainal ‘Azim Ahmad Mahmud dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang meraih perak dengan 230.4 mata.

Sementara itu, Muhammad Afiq Azrief Khalil dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) melengkapkan podium dengan 210.3 mata.

Lebih bermakna, kejayaan tersebut hadir pada penampilan sulung Umar di SUKIPT selepas dia tidak lagi berada dalam program kebangsaan tahun ini, sekali gus membuktikan dirinya masih memiliki kemampuan untuk kembali bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Saya berasa sangat puas. Usaha dan latihan saya selama ini berbaloi dengan kemenangan hari ini. Saya juga mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada jurulatih serta ibu bapa yang banyak menyokong saya dalam sukan ini. Alhamdulillah, saya bersyukur,” katanya.

Umar yang pernah berada dalam program kebangsaan dari 2020 hingga tahun lalu mengakui emas sememangnya menjadi buruannya, lebih-lebih lagi UPM mempunyai rekod cemerlang dalam acara menembak di pentas SUKIPT.

“Sasaran itu memang ada. Insya-Allah saya sedang bekerja keras dan sasaran untuk kembali menyertai skuad kebangsaan memang ada,” kata penuntut Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM itu.

Dalam masa sama, Umar turut mengintai peluang disenaraikan ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) dengan namanya ketika ini masih berada dalam senarai panjang pemilihan dan menyasarkan pingat emas berpasukan sekiranya berjaya mendapat tempat.

The post Sukipt: Umar Fareed intai sarung jersi negara appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved