SUKMA 2026: 1,700 sukarelawan kumpulan pertama dipilih bantu temasya

6 Jul 2026 • 4:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SUKMA 2026: 1,700 sukarelawan kumpulan pertama dipilih bantu temasya

AMPANG JAYA, 6 JULAI: Seramai 1,700 sukarelawan kumpulan pertama dipilih bagi membantu kelancaran penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan PARA SUKMA 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor, Dato' Mohd Yazid Sairi berkata senarai sukarelawan yang terpilih telah dikeluarkan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor.

Menurut beliau, pemilihan dibuat secara berperingkat bagi memastikan keperluan sukarelawan sepanjang penganjuran temasya sukan dwitahunan itu dapat dipenuhi dengan lebih teratur.

Katanya, sambutan terhadap permohonan menjadi sukarelawan amat menggalakkan apabila pihaknya menerima kira-kira 31,000 permohonan.

“Memang kita ada permohonan yang banyak untuk bertugas sebagai sukarelawan sepanjang tempoh SUKMA dan PARA SUKMA lebih kurang 31,000 permohonan.

“Untuk kumpulan pertama ini, kita keluarkan nama 1,700. (Selepas itu) kita akan tengok daripada segi maklum balas mereka yang terpilih untuk kumpulan pertama ini,” katanya.

Image from: SUKMA 2026: 1,700 sukarelawan kumpulan pertama dipilih bantu temasya
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor, Dato' Mohd Yazid Sairi bercakap kepada media selepas majlis pelepasan Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan PARA SUKMA 2026 peringkat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Dataran Konvensyen MPAJ, Ampang Jaya pada 5 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau ditemui pada majlis pelepasan Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan PARA SUKMA 2026 peringkat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya keputusan sama ada acara sukan yang gagal memenuhi syarat minimum penyertaan akan digugurkan daripada temasya itu hanya akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026 pada 15 Julai ini.

Menurutnya, senarai pendek penyertaan daripada semua kontinjen telah ditutup, namun keputusan berhubung status acara yang tidak mencapai jumlah minimum penyertaan masih belum dimuktamadkan.

“Daripada segi untuk memuktamadkan acara sama ada digugurkan ataupun dikekalkan kita tunggu Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA pada 15 Julai ini yang akan dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan,” katanya.

Pada 10 Mei, EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata acara renang berirama digugurkan daripada temasya SUKMA selepas gagal memenuhi syarat minimum penyertaan sekurang-kurangnya enam negeri.

Image from: SUKMA 2026: 1,700 sukarelawan kumpulan pertama dipilih bantu temasya
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor, Dato'Mohd Yazid Sairi melakukan gimik pelepasan peserta sempena majlis pelepasan Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan PARA SUKMA 2026 peringkat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Dataran Konvensyen MPAJ, Ampang Jaya pada 5 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA selepas acara renang berirama tidak mendapat penyertaan mencukupi daripada kontinjen negeri.

Menurut Najwan selepas pengguguran renang berirama yang membabitkan lima acara dan lima pingat, jumlah acara bagi temasya dwitahunan itu dikurangkan kepada 469 acara.

SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA 2026 dari 5 hingga 14 September.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved