Oleh: Aliff Haiqal Mohamed
SHAH ALAM, 27 JAN: Status Selangor sebagai negeri maju akan diuji sepanjang penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata harapan tinggi diletakkan kepada negeri ini dalam menjadi tuan rumah buat kali kedua.
“Selangor sering disebut sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mempunyai kutipan hasil negeri paling tinggi. Jadi harapan besar diletakkan kepada kita. Inilah cabaran kita,” kata beliau ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2025 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Justeru beliau menyeru semua pihak bersiap sedia merangka gerak kerja bagi memastikan kelancaran penganjuran sukan dwitahunan itu.
“Kita lihat dan mula sekarang, sebab bukan sedikit tetapi dijangka belasan ribu atlet, pegawai, termasuk penonton dan penyokong akan hadir. Kita perlu susun gerak kerja dengan baik,” katanya.
Selangor kembali menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij itu pada tahun hadapan selepas kali terakhir menganjurkannya pada 1998.
Terdahulu jawatankuasa pengelola temasya sukan berkenaan memutuskan Ogos 2026 bagi penganjuran sukan itu di Selangor.
Jawatankuasa berkenaan menimbang Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai lokasi bagi acara pembukaan dan penutup rasmi SUKMA manakala Stadium MBPJ menjadi lokasi bagi acara pembukaan dan penutupan rasmi Para SUKMA.
Amirudin dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2025 mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk melaksana program pembangunan sukan sebagai persiapan SUKMA ke-22.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri menganggar kos lebih RM150 juta diperuntuk bagi menganjur temasya berkenaan selain penggunaan 90 peratus infrastruktur di Selangor.


The post SUKMA 2026: Harapan tinggi buat Selangor, status negeri maju diuji appeared first on Selangorkini.

