SUKMA 2026: Nur Alyaa akur terlepas gangsa, nekad bangkit buru emas berpasukan

20 Aug 2026 • 1:25 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SUKMA 2026: Nur Alyaa akur terlepas gangsa, nekad bangkit buru emas berpasukan

KAJANG, 20 OGOS: Atlet memanah Selangor, Nur Alyaa Nazurah Fadzil Fairuz, menganggap nasib tidak menyebelahi dirinya selepas terlepas peluang meraih pingat dalam acara compound perseorangan wanita, pagi tadi.

Pada acara di Stadium INSPEN, Bangi itu, Nur Alyaa tewas dengan skor 140 berbalas 145 kepada atlet Sarawak, Wee Yee Qi pada perlawanan penentuan tempat ketiga.

"Ini pengalaman pertama saya beraksi dalam format 'alternate shooting'. Fokus saya sedikit terganggu ketika perlawanan separuh akhir akibat masalah teknikal.

"Sebelum perlawanan untuk penentuan pingat gangsa pula ada penangguhan dalam 30 minit, menyebabkan suhu badan dan rentak permainan saya mula menurun," katanya kepada Media Selangor.

Terdahulu, Nur Alyaa tewas pada perlawanan separuh akhir dalam acara sama kepada pemanah Perak, Puteri Qaira Qistina Hairol Supfian dengan keputusan 136-142.

Mengulas aksi hari ini, beliau mengakui sedikit gugup tetapi berjaya mengawal pernafasan sehingga ke perlawanan penentuan pingat gangsa.

"Perasaan gugup sangat tebal kerana ini penampilan pertama saya di pentas separuh akhir. Namun, saya cuba mengawal pernafasan sehingga memasuki penentuan pingat gangsa," katanya lagi.

Pun begitu, beliau tetap reda dengan keputusan tersebut dan kini mengalihkan tumpuan sepenuhnya untuk memburu emas menerusi dua perlawanan akhir acara berpasukan campuran dan berpasukan wanita yang dijadualkan berlangsung esok.

"Terima kasih kepada jurulatih, ibu bapa dan rakan sepasukan yang sentiasa menyokong sehingga ke peringkat ini. Walaupun kecewa tidak membawa balik pingat, tapi saya akan cuba bangkit untuk acara seterusnya esok," tambahnya lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved