SUKMA 2026: Pantai Batu Laut sedia sepenuhnya jadi venue perahu layar

2 Aug 2026 • 1:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SUKMA 2026: Pantai Batu Laut sedia sepenuhnya jadi venue perahu layar

KUALA LANGAT, 2 OGOS: Venue acara perahu layar di Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat kini bersedia sepenuhnya bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas semua kerja naik taraf dan penyediaan kemudahan berjaya disiapkan.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata kemudahan di lokasi itu, termasuk ruang parkir bot, telah dinaik taraf bagi memastikan kelancaran urusan atlet, pegawai dan pasukan teknikal sepanjang pertandingan berlangsung.

Image from: SUKMA 2026: Pantai Batu Laut sedia sepenuhnya jadi venue perahu layar
EXCO Belia, Sukan dan Pengerusi SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026, Mohd Najwan Halimi bercakap keapda media dalam Kuala Langat Merdeka Run sempena Larian Obor Sukma Selangor 2026 di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 2 Ogos 2026. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

"Alhamdulillah semua persiapan dan kerja naik taraf telah selesai. Tempat kita berada ini merupakan venue untuk acara perahu layar.

"Kalau kita lihat di kawasan sekitar, kemudahan termasuk ruang parkir bot telah disediakan dan dinaik taraf oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bagi memudahkan urusan atlet serta pegawai sukan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelepasan peserta Larian Obor SUKMA 2026 dan Merdeka Run di Pantai Batu Laut, hari ini.

Mohd Najwan berkata, berbaki kurang dua minggu sebelum temasya bermula, tumpuan kini beralih kepada penyelarasan akhir membabitkan aspek logistik, pengangkutan, keselamatan serta pengurusan kontinjen di semua venue pertandingan.

Menurut beliau, sambutan terhadap SUKMA turut memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat apabila kebanyakan homestay, inap desa dan hotel di sekitar Tanjung Sepat telah ditempah lebih awal oleh kontinjen dari seluruh negara.

"Homestay di sini dah penuh. Beberapa hotel dan inap desa juga telah ditempah oleh kontinjen negeri-negeri yang bertanding.

"Kita tidak hanya tertumpu kepada perkampungan sukan kerana mahu memberi fleksibiliti kepada atlet untuk memilih penginapan yang bersesuaian," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri terus bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan bagi memastikan aspek keselamatan, pengangkutan serta pengurusan trafik berada pada tahap terbaik sepanjang temasya berlangsung.

Beliau turut memaklumkan persiapan Majlis Perasmian di Dataran Kemerdekaan Shah Alam kini berada pada peringkat akhir, manakala Aneka Walk dijangka menjadi lokasi Majlis Penutupan SUKMA dan Para SUKMA.

Mengulas mengenai Larian Obor SUKMA yang kini memasuki destinasi ke-11, Mohd Najwan berkata program itu bukan sekadar menyemarakkan bahang temasya, malah menjadi platform mempromosikan produk pelancongan di setiap daerah yang dilalui.

"Ini juga sebahagian daripada objektif SUKMA, bukan hanya untuk mempromosikan acara sukan, tetapi menggunakan sukan sebagai salah satu elemen untuk mempromosikan pelancongan di negeri Selangor," katanya.

SUKMA edisi ke-22 akan mempertandingkan 469 acara membabitkan 37 jenis sukan di 52 venue yang merentasi sembilan daerah di Selangor.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved