

SEPANG, 2 JULAI: Litar Antarabangsa Petronas Sepang (Petronas SIC) yang dimuktamadkan sebagai lokasi rasmi majlis pembukaan kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 mempunyai fasiliti dan prasarana lengkap untuk menyokong penganjuran acara tersebut.
Pengurus Besar Pembangunan Korporatnya Faisal Zakaria berkata kepakaran pihaknya dalam menganjurkan acara berprestij menjadi nilai tambah utama dalam menjayakan penganjuran acara itu.
“Insya-Allah kita pun bersedia untuk sokong berdasarkan kepakaran menganjurkan acara besar. Beberapa sesi libat urus sudah dibuat dengan Kerajaan Negeri dan juga sekretariat penganjuran SUKMA.
“Setakat ini kita akan bekerjasama untuk menganjurkan majlis pembukaan. Perbincangan lanjut sedang berjalan untuk persiapan salah satu acara paling besar di peringkat kebangsaan,” katanya pada sidang media Selangor Marathon (SELMAR) 2025 di sini semalam.
Sebelum ini EXCO Sukan Najwan Halimi memaklumkan Petronas SIC dimuktamadkan sebagai lokasi rasmi majlis pembukaan kejohanan SUKMA Selangor 2026.

Menurutnya, keputusan disahkan Sekretariat SUKMA Selangor untuk mencipta suasana kelainan berbanding di stadium sebelum ini dalam temasya dwi tahunan itu.
Menurut Najwan, pemilihan Petronas SIC bukan saja menonjolkan imej Selangor sebagai negeri maju ekonomi dan pentadbiran malah destinasi penganjuran sukan bertaraf dunia.
Menurut laman web, tempat duduk utama dan ruangan korporat SIC mempunyai kapasiti 32,000, manakala keseluruhan kawasan mampu menampung lebih 170,000 penonton pada satu masa.
Dibina pada Februari 1998, litar itu pernah menjadi tuan rumah untuk beberapa acara sukan utama seperti Grand Prix F1, MotoGP, Super GT, Asian Le Mans Series, dan Kejohanan Superbike Dunia.
Selangor kali terakhir menjadi tuan rumah SUKMA pada 1998, di mana negeri itu muncul juara keseluruhan.


The post SUKMA 2026: Petronas SIC bersedia jadi lokasi pembukaan, miliki prasarana lengkap appeared first on Selangorkini.

