
SHAH ALAM, 24 OGOS: Selangor menutup tirai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan kejayaan manis apabila meraih pingat emas terakhir kontinjen negeri itu menerusi sukan silambam, hari ini.
Selangor memenangi acara Berirama Tanpa Senjata Campuran dalam saingan yang berlangsung di Stadium MBSJ, Serdang.
Kejayaan itu sekali gus menjadi penutup gemilang buat kontinjen Selangor sebelum temasya itu melabuhkan tirai.
Gandingan Selangor dibarisi Venisha Saravanan, Sasmita Ravi, Roselynn Anuska Devit Raj, Sharvienrajh Selvam dan Preteish Anbucelvan menewaskan pasukan Perak yang memenangi pingat perak dan Terengganu yang membawa pulang gangsa.
Pingat emas itu cukup bermakna apabila ia menjadi emas terakhir Selangor pada SUKMA kali ini, sekali gus melengkapkan kempen kontinjen negeri berkenaan dengan detik membanggakan di penghujung temasya.
Sementara itu, Selangor turut menutup saingan silambam dengan memenangi pingat perak menerusi acara silambam berirama bersenjata campuran dibarisi Dharani Shanmugam, Kiranjenifeer Danchill, Sanjay Sivabalan, Sarveshaa Murali dan Sriraj Sankaran.
Pingat emas dimenangi Terengganu manakala Johor membawa pulang gangsa.





