SUKMA Hari Ke-8: Selangor raih perak menerusi rejam lembing

19 Aug 2024 • 9:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

SHAH ALAM, 19 OGOS: Selangor menyasar meraih lapan lagi pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak yang memasuki hari kelapan hari ini.

Berada di tangga kesembilan ketika ini dengan kutipan lima emas, 13 perak dan tujuh gangsa, Selangor yakin mampu menambah emas menerusi tenis berpasukan (8.30 pagi), lawan pedang (9 pagi) dan sofbol wanita (10.00 pagi).

Selain itu, skuasy campuran (12 tengah hari), kriket lelaki (2.30 petang), taekwando (4 petang), renang (5 petang) dan olahraga (5.30 petang).

Berikut perkembangan semasa SUKMA Sarawak hari ini:

3 petang: Beregu campuran Selangor mengalahkan Negeri Sembilan 3-0 pada perlawanan suku akhir badminton, manakala Wilayah Persekutuan menewaskan Johor 3-2 dan Sarawak menumpaskan Perak 3-1

2.35 petang: Gandingan Harold Rynes Aloysius dan Erwin Kros Christopher mara ke separuh akhir acara skuasy beregu lelaki, tundukkan Shauqi Haliim dan Fayyad Hashim dari Kedah.

Pada aksi suku akhir di Pusat Skuasy Sarawak, Harold dan Erwin menang 11-9, 11-4 dalam pertarungan selama 20 minit.

image is not available
Atlet Skuasy Selangor, Harold Rynes Aloysius (kanan) beraksi ketika suku akhir skuasy beregu lelaki menentang beregu Kedah. Harold Rynes Aloysius bersama regunya Erwin Kros Christopher mara ke separuh akhir pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas menundukkan Shauqi Haliim dan Fayyad Hashim dari Kedah di Pusat Squash Sarawak, Kuching pada 19 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

2.20 petang: Perak membenam Terengganu 8-2 dalam aksi suku akhir futsal, sementara tuan rumah, Sarawak mengalahkan Wilayah Persekutuan 3-1

1.30 tengah hari: Sabah meraih dua pingat, emas dan gangsa dalam acara lompat tinggi wanita menerusi Ku Yee Aleng dan Nolaeska Kipolos, sementara pemain Pulau Pinang, Melissa Choong En Xuan di kedudukan kedua.

11.30 pagi: Jing Yi Tan meraih pingat perak acara rejam lembing dengan keputusan 54.03, emas milik atlet Wilayah Persekutuan Wei Jun Cheah (56.53) sementara gangsa diraih atlet Johor Mohd Noor Iman Norman (53.36).

9.40 pagi: C Teban Raj menghadiahkan gangsa kepada kontinjen Selangor menerusi acara 20,000m lumba jalan kaki lelaki. Johan acara berkenaan milik Atlet Wilayah Persekutuan Khor Jing Hong sementara perak Sriven Tan dari Pulau Pinang.

Jing Hong yang membuat penampilan pertamanya mencipta rekod baharu temasya selepas mencatatkan 1’34:38.20s sekali gus memadam rekod lama berusia 20 tahun milik Thiyagu Manoharan dari Perak yang mencatat 1’34:56.10s pada edisi 2004 di Negeri Sembilan.

image is not available
Atlet Wilayah Persekutuan Khor Jing Hong raih emas acara 20,000m lumba jalan kaki lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Sarawak pada 19 Ogos 2024. Foto Facebook BERNAMA

 

image is not available