SUKMA: Jelajah larian obor di Ampang Jaya himpun 1,500 peserta

6 Jul 2026 • 8:50 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SUKMA: Jelajah larian obor di Ampang Jaya himpun 1,500 peserta

AMPANG JAYA, 6 JULAI: Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan PARA SUKMA 2026 terus menyemarakkan bahang temasya apabila menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta di Taman Melawati di sini, malam tadi.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ts Hasrolnizam Shaari berkata MPAJ merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) ketujuh yang menjadi lokasi penganjuran siri jelajah berkenaan menjelang temasya dwitahunan itu.

Menurutnya, peserta menyertai larian sejauh empat kilometer (km) di sekitar Taman Melawati sebagai simbolik menyemarakkan semangat kesukanan menjelang SUKMA 2026.

“Alhamdulillah tiba giliran untuk MPAJ meneruskan acara larian obor SUKMA dalam siri ketujuh setelah beberapa PBT selesai. Malam ini kita memilih untuk buat di satu lokasi yang menjadi tumpuan masyarakat di Taman Melawati.

“Kita dapat sambutan 1,500 peserta. Jadi hari ini kita menerima obor daripada Majlis Perbandaran Selayang dan selanjutnya akan memulakan larian sejauh 4km,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan jelajah itu, malam tadi.

Image from: SUKMA: Jelajah larian obor di Ampang Jaya himpun 1,500 peserta
Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ts Hasrolnizam Shaari ketika ditemu bual pada program Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di hadapan Pusat Konvensyen MPAJ, Ampang Jaya pada 5 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Majlis pelepasan berlangsung di hadapan Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati yang turut dipilih sebagai venue acara e-sukan SUKMA Selangor 2026 bermula 19 hingga 24 Ogos depan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor Dato' Mohd Yazid Sairi dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi.

Jelajah Larian Obor SUKMA membuka tirainya di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 10 Mei lalu sebelum diteruskan ke Sabak Bernam, Hulu Selangor, Selayang dan malam tadi di Ampang Jaya.

Siri jelajah itu akan diteruskan ke Kajang, Subang Jaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat sebelum melabuhkan tirainya di Sepang pada 9 Ogos.

SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA 2026 akan diadakan pada 5 hingga 14 September.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved