
MELAKA: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali mewakili kerajaan negeri menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, baru-baru ini.
Beliau turut menzahirkan ucapan syabas kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan barisan jemaah menteri dan timbalan menteri yang dipilih menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.
“Semoga Malaysia terus maju dan makmur di bawah kepimpinan baharu ini.
“Kerajaan Perpaduan hari ini diharap dapat berganding bahu demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat Melaka terutamanya dalam meneruskan pemberian peruntukan pembangunan yang lazim diterima sekitar lingkungan RM500 hingga RM600 juta pada setiap Rolling Plan Rancangan Malaysia Lima Tahun (RP-RMLT),“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2023 Negeri Melaka bertemakan Teguh Bersama Makmur Melaka: Memulih Ekonomi, Memperingat Akujanji, Mensejahtera Rakyat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini hari ini.
Beliau berkata dalam RP3 Rancangan Malaysia ke-12, Melaka telah memohon pelbagai projek untuk dilaksanakan di negeri berkenaan dan antara projek keutamaan kerajaan negeri ialah menaik taraf dan membina jalan baharu empat lorong pesisiran pantai, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lendu dan menaik taraf pesisiran Pantai Siring.
Selain itu, katanya rancangan tebatan banjir turut menjadi keutamaan kerajaan negeri kerana ia merupakan keperluan semasa dalam usaha menyelesaikan isu banjir di Melaka dan Ahli Parlimen yang mewakili Kerajaan Perpaduan dari Alor Gajah, Kota Melaka dan Hang Tuah Jaya diminta turut memperjuangkan permohonan peruntukan projek terlibat khususnya dalam Bajet Nasional 2023.
Dalam perkembangan lain, Sulaiman berkata kerajaan Melaka di bawah pentadbiran BN diingatkan tidak terlalu selesa dan terleka walaupun memperoleh kemenangan besar dengan majoriti tiga perempat kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 lepas kerana ia amat ‘berbahaya’.
Beliau berkata ini kerana ia memberi kesan kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas bukan sahaja ‘wake-up call’ daripada rakyat malah ia adalah amaran atau peringatan daripada mereka untuk bekerja dengan lebih baik.
“Kalau dalam bola sepak Piala Dunia 2022 di Qatar yang sedang berlangsung sekarang, kita ini umpama dapat ‘telur ayam’, justeru Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri termasuk saya kena bekerja lebih keras selesaikan ehwal rakyat, kalau tidak kita semua pun akan ‘balik awal jugak’ macam Jerman.
“Kita tiada pilihan, melainkan kena lebih rajin turun padang, tengok dan dengar masalah rakyat, dekati anak-anak muda, santunilah mereka dan yang paling penting selesaikan masalah mereka,“ katanya.
Beliau turut menyeru agar semua penjawat awam, ketua agensi kerajaan negeri, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar, penghulu, sidang, ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan pemimpin di peringkat akar umbi agar meningkatkan prestasi serta kualiti perkhidmatan dan penyampaian agar rakyat lebih rasai nawaitu (niat), keikhlasan serta kehadiran mereka.-Bernama

