Sultan bimbang ahli politik keluarkan fatwa sendiri – Ahli Dewan Diraja Selangor

LocalPolitics
28 Oct 2026 • 4:07 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Sultan bimbang ahli politik keluarkan fatwa sendiri – Ahli Dewan Diraja Selangor

SHAH ALAM, 28 OKT: Kebimbangan terhadap tindakan ahli politik mengeluarkan fatwa sendiri menjadi antara perkara yang diberi perhatian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, dalam usaha memperkukuh institusi fatwa dan memartabatkan undang-undang Islam.

Ahli Dewan Diraja Selangor, Tan Sri Dato’ Setia Mohd Zawawi Salleh berkata institusi fatwa penting dalam membimbing umat Islam, khususnya berkaitan persoalan hukum syarak yang tidak dibincangkan secara khusus dalam kitab klasik.

“Selain fatwa, khutbah juga berperanan sebagai saluran bagi pemerintah mendidik dan membimbing masyarakat Islam serta membentuk jati diri ummah.

“Tuanku melihat khutbah dan fatwa sebagai dua instrumen penting untuk mendidik serta mentarbiah umat Islam, terutama dalam memahami hukum dan membina jati diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Peranan DYMM Sultan Selangor dalam Memperkasa Institusi Fatwa dan Memartabatkan Undang-Undang Islam menerusi Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Pembentangan itu turut menekankan kepentingan masyarakat memahami proses pengeluaran fatwa supaya tidak menganggapnya sebagai pandangan peribadi mufti atau keputusan yang boleh dibuat tanpa mengambil kira realiti semasa serta pandangan pakar berkaitan

Mohd Zawawi berkata setiap fatwa perlu melalui proses yang ditetapkan, termasuk mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor bagi memastikan pengeluaran fatwa dilaksanakan mengikut saluran berautoriti.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan Baginda sebagai pemerintah berpengalaman yang mempunyai perhatian mendalam terhadap pelbagai isu, termasuk perkembangan dunia Islam dan kesan buruk rasuah.

“Pengalaman baginda sebelum menaiki takhta sebagai Sultan Selangor turut memberikan pendedahan luas terhadap urusan pemerintahan dan tanggungjawab memelihara kedudukan Islam

“Justeru, kefahaman mengenai peranan institusi fatwa dan proses pengeluarannya penting bagi memastikan masyarakat merujuk sumber yang sahih serta pihak bertanggungjawab ketika berdepan persoalan agama,” katanya.

Terdahulu, program dua hari bermula hari ini itu mengetengahkan pelbagai pembentangan mengenai kepimpinan Sultan Selangor dalam pentadbiran agama Islam, pemerkasaan institusi fatwa, perundangan Islam serta peranan institusi raja dalam membela hak rakyat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved