Sultan Ibrahim berkenan terima menghadap PM Anwar

Politics
30 Dec 2022 • 6:10 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Serene, di sini hari ini.

Kenderaan yang membawa Perdana Menteri ke-10 itu tiba di istana berkenaan kira-kira 10.30 pagi.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berangkat tiba di istana tersebut pada 9.34 pagi, diikuti Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim 10 minit kemudian.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Tambun itu disambut Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi setibanya di Senai Business Aviation Terminal pada 9.55 pagi.

Ini merupakan kali kedua Anwar menghadap Sultan Ibrahim dan kali pertama beliau ke negeri ini selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov lepas.

Pengerusi Pakatan Harapan itu pernah menghadap Sultan Johor tiga hari selepas mengangkat sumpah.

Anwar turut dijadual bertemu masyarakat ketika makan tengah hari di Restoran Murtabak Kampung Melayu Azo 96, Kampung Melayu Majidee, di sini.

Selepas itu, beliau akan menunaikan solat jumaat di Masjid Kampung Melayu Majidee sebelum kembali ke ibu negara.

Kali terakhir Anwar ke Johor ialah ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 awal November lepas.

Sementara itu, Anwar menerusi kenyataan di laman Facebook menjunjung kasih terhadap Sultan Ibrahim yang berkenan menerima beliau menghadap hari ini di istana tersebut.

Perdana Menteri berkata sesi menghadap selama hampir sejam itu adalah bersempena lawatan kerja beliau ke Johor Bahru.

“Dalam sesi menghadap tersebut, saya telah berikan penjelasan terkait soal pembangunan negara serta negeri Johor Darul Ta’zim.

“Mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Duli Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan. Daulat Tuanku,“ katanya. - Bernama