
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum sedia maklum, Presiden Indonesia Prabowo Subianto telah tiba di Malaysia pada 5.35 pagi semalam (27 Januari) bagi memulakan lawatan negara atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Beliau telah ke Menara Berkembar Petronas (KLCC) bagi pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis sambutan rasmi dan mesyuarat dua hala secara tertutup.
YDPA Kurnia Darjah Kerabat Johor Kepada Prabowo
Sehubungan itu, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K.1) kepada Prabowo di Istana Negara semalam.
Menerusi catatan di Facebook, pengurniaan tersebut turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Catatan tersebut juga menyatakan bahawa kedatangan Prabowo ke Malaysia merupakan lawatan negara pertama sejak Baginda menaiki taktha sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
“Yang Mulia Bapak Prabowo merupakan sahabat karib Seri Paduka Baginda yang dikenali lebih 40 tahun, sejak zaman latihan ketenteraan di Amerika Syarikat pada tahun 1980-an,” tulis catatan itu.
Sultan Ibrahim & Prabowo Telah Kenal Kira-Kira 45 Tahun
Dalam masa sama, ia juga menjadi lawatan negara pertama Prabowo ke negara Asia Tenggara sejak dilantik sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober tahun lalu.
Ketika sidang media bersama Anwar di KLCC, Prabowo berkata pengurniaan tersebut menjadi lambang keakraban hubungan antara dirinya dengan Sultan Ibrahim serta kerabat Kesultanan Johor.
“Hubungan kami sangat lama, mungkin sudah 45 tahun saya kenal dengan Yang di-Pertuan Agong, sewaktu kami masih sama-sama muda dan bersekolah di Amerika Syarikat,” katanya dipetik Sinar Harian
Darjah Kerabat Johor Dikurniakan Kepada Kerabat Damping, Raja-Raja Melayu & Pembesar Negara
Berdasarkan laman web rasmi Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim, Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati telah diperkenalkan pada 31 Julai 1886.
Darjah tersebut yang mempunyai dua pangkat iaitu D.K I dan D.K II dikurniakan kepada kerabat damping, Raja-Raja Melayu dan pembesar negara serta tidak membawa sebarang gelaran.
Darjah Kerabat Pangkat Pertama (D.K 1) mengandungi seutas kalung diperbuat daripada emas dan enamel. Padanya terukir nama ‘Abu Bakar’ dalam tulisan Jawi, dengan panji-panji Sultan di sebelah kanan dan bendera negeri Johor di sebelah kiri.

Pada bahagian atasnya terletak Mahkota Kerajaan dan di bawahnya tertulis cogan kata tulisan jawi ‘Muafakat itu Berkat’.
Selain itu, terdapat sebiji bintang besar (breast badge) diperbuat daripada emas dan perak berbentuk bintang sembilan pecahan. Di tengahnya merupakan bulan sabit dengan tulisan Jawi ‘Kepada Allah Berserah’ dan di atasnya sebilah pedang bersilang dengan keris menjungjung mahkota.
Terdapat juga sebuah bintang kecil (sash badge) sembilan pecahan beserta kain pita warna kuning emas dan kain selempang warna kuning emas melengkapi darjah ini.
Di samping D.K 1 dan D.K 2, darjah kebesaran lain termasuk Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia dan Darjah Sultan Ismail Yang Amat Dihormati.
Terdapat juga pingat-pingat yang dikurniakan iaitu Pingat Sultan Abu Bakar, Pingat Besi kerana Jasa dan Keberanian, Pingat Lama dan Jasa dalam Pekerjaan (P.J.P), Pingat Lama dan Baik dalam Perkhidmatan (P.L.P) dan Pingat Ibrahim Sultan (P.I.S).
Source:

