Sultan Johor Berkenan Bantu Baiki Rumah Orang Asli Rosak Dilanda Ribut

15 Apr 2023 • 9:33 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dari kiri Mohd Nurul Faiz, David Wong, Avinderjit Singh, Liow Cai Tung dan Asman Shah. - Semua gambar Ihsan FB Sultan Ibrahim Iskandar

KOTA TINGGI - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan membiayai kos baik pulih 11 kediaman penduduk Orang Asli di sini yang rosak dalam kejadian ribut, kelmarin.

Mejar Cina Datuk David Wong dipetik sebagai berkata, semua kediaman tersebut terletak di Kampung Orang Asli Sayang Pinang di sini.

Menurut beliau, baginda menitahkan supaya setiap kerja penambahbaikan tersebut dimulakan pada kadar segera.

image is not available
Mejar Cina Datuk David Wong (tengah) ketika meninjau lokasi kejadian. - Gambar ihsan FB Sultan Ibrahim Iskandar

“Kerja penambahbaikan ini akan dibiayai baginda menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ),” katanya, seperti dipetik pengendali laman Facebook Sultan Ibrahim.

Terdahulu, Wong sempat meluangkan masa meninjau lokasi kejadian bagi melihat semua rumah yang terjejas.

Beliau bersama Pemegang Amanah Urusan YSIJ, Datuk Avinderjit Singh menyampaikan kurniaan bantuan makanan daripada Sultan Johor.

image is not available

Sumbangan tersebut terdiri daripada 500 kotak yang disampaikan kepada penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya di Dewan Serbaguna Seri Alam, Masai.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung, Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman dan Penghulu Mukim Plentong, Mohd Nurul Faiz. - Getaran, 15 April 2023