ALOR SETAR – [DIKEMAS KINI] Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memandang serius isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sama ada di atas tanah kerajaan atau tanah persendirian.
Baginda bertitah, isu berkaitan agama tidak boleh dipolitikkan oleh mana-mana pihak demi kepentingan tertentu sehingga memecahbelahkan masyarakat.
Sultan Sallehuddin turut menzahirkan kebimbangan terhadap pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam isu sensitif dengan menangguk di air keruh bagi meraih sokongan atau keuntungan politik.
"Beta juga ingin menegaskan bahawa institusi keagamaan tidak sekali-kali wajar disalahgunakan bagi kepentingan peribadi atau dijadikan wadah kepada agenda politik tertentu.
"Sehubungan itu, Beta menyeru agar pihak berkuasa yang berkaitan bertindak secara tegas dan proaktif dalam melaksanakan penguatkuasaan berlandaskan undang- undang," titah baginda pada Isnin.
Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat perasmian pembukaan Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Aman di sini.
Baginda bertitah, pembinaan rumah ibadat bagi semua agama tanpa kebenaran merupakan satu pelanggaran undang-undang yang tidak boleh dikompromi.
Dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama di Kedah, baginda mengingatkan bahawa keharmonian perlu dipupuk melalui sikap saling hormat-menghormati serta memahami sensitiviti masing-masing.




