Sultan Nazrin perkenan pelepasan lebih 4,000 peserta Run for Tigers

EnvironmentSports
2 Aug 2026 • 11:11 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sultan Nazrin perkenan pelepasan lebih 4,000 peserta Run for Tigers

PUTRAJAYA: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan pelepasan lebih 4,000 peserta program Run for Tigers: The Long Run sempena sambutan Hari Harimau Sedunia 2026 di Taman Wetland di sini, hari ini.

Keberangkatan baginda yang juga Penaung WWF-Malaysia bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menyerikan acara anjuran bersama WWF-Malaysia dan Maybank itu.

Acara itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap usaha pemuliharaan harimau Malaya, spesies ikonik negara yang kini berstatus Kritikal Terancam.

Program berkenaan turut meraikan sedekad kerjasama strategik antara WWF-Malaysia dan Maybank dalam melindungi harimau Malaya menerusi pelbagai inisiatif pemuliharaan termasuk perlindungan habitat, pemantauan hidupan liar, penglibatan komuniti serta program kesedaran awam.

Menurut WWF-Malaysia, sambutan menggalakkan orang ramai terhadap program itu hadir pada saat usaha pemuliharaan Harimau Malaya menunjukkan perkembangan positif apabila kamera perangkap di Royal Belum berjaya merakam kehadiran anak harimau pada tahun 2022 dan sekali lagi pada 2025.

Sepanjang tempoh 10 tahun kerjasama tersebut, bilangan anggota pasukan renjer berjaya ditingkatkan daripada 12 kepada 150 orang selain lebih 500 kamera perangkap dipasang bagi memperkukuh usaha perlindungan di habitat utama Harimau Malaya.

Kerjasama itu juga menyokong pelbagai pencapaian penting termasuk pengiktirafan CA|TS Royal Belum, pengukuhan dasar pemuliharaan dan penguatkuasaan di peringkat kebangsaan serta pelaksanaan inisiatif kesedaran awam yang meningkatkan sokongan terhadap usaha pemuliharaan harimau.

Selain larian kategori 10 kilometer dan lima kilometer, peserta turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti bertemakan pemuliharaan termasuk pameran interaktif, cabaran Avoid the Snares, aktiviti mesra keluarga dan pertandingan Best Dressed bertemakan hidupan liar.

Image from: Sultan Nazrin perkenan pelepasan lebih 4,000 peserta Run for Tigers
SULTAN Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim berkenan menyertai Larian Run For Tigers: The Long Run di Taman Wetland Putrajaya. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Acara itu menjadi platform menghimpunkan agensi kerajaan, rakan korporat, komuniti Orang Asli, pertubuhan pemuliharaan dan masyarakat umum dalam usaha memastikan kelangsungan Harimau Malaya untuk diwarisi generasi akan datang.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim berkata, walaupun cabaran yang dihadapi Harimau Malaya masih besar, petanda awal pemulihan ketika ini membuktikan bahawa usaha pemuliharaan mampu membawa perubahan.

“Run for Tigers memberi peluang untuk kita menghargai usaha kolektif renjer, komuniti Orang Asli, agensi kerajaan, rakan kerjasama dan para penyokong yang selama ini memastikan harapan terhadap kelangsungan spesies ikonik ini terus hidup.

“Penyertaan lebih 4,000 rakyat Malaysia menghantar mesej yang jelas bahawa masyarakat mengambil berat terhadap perlindungan khazanah semula jadi negara dan bersedia menyokong usaha pemuliharaan yang memberikan impak sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Hal Ehwal Korporat Kumpulan Maybank merangkap Ketua Pegawai Eksekutif
Yayasan Maybank, Izlyn Ramli berkata, acara ini membuktikan pemuliharaan Harimau Malaya mampu dicapai apabila organisasi, komuniti, agensi kerajaan dan individu berganding bahu demi matlamat yang sama. – UTUSAN

The post Sultan Nazrin perkenan pelepasan lebih 4,000 peserta Run for Tigers appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved