Sultan Nazrin sampaikan sumbangan Aidilfitri RM10.7 juta

7 Apr 2023 • 10:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sultan Nazrin (dua dari kanan ) berkenan menyampaikan sumbangan bantuan Hari Raya Aidilfitri oleh MAIPk sempena Majlis Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Perak serta Majlis Perasmian Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati pada Jumaat.

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan sumbangan bantuan Hari Raya Aidilfitri oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi tahun 2023 berjumlah RM10.7 juta.

Bantuan diserahkan melalui penghulu mukim dari 12 daerah mewakili 35,695 orang penerima terdiri daripada asnaf fakir dan miskin di seluruh negeri Perak.

Penerima bantuan Hari Raya Aidilfitri dipilih daripada senarai asnaf fakir miskin yang telah dipilih dan dicadangkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Diri Jumaat Kampung Orang Asli.

Selain itu, semua asnaf penerima bantuan kewangan bulanan, sewa rumah dan hemodialisis oleh MAIPk juga turut menerima bantuan hari raya ini.

Majlis penyerahan disempurnakan sempena Majlis Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Perak serta Majlis Perasmian Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati, di sini pada Jumaat.