Sultan Pahang ingatkan rakyat hargai kebebasan -“Jangan jadi seperti kaduk naik junjung”

LocalPolitics
21 Nov 2026 • 2:56 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kebebasan yang dinikmati rakyat hari ini tidak seharusnya disalahgunakan sehingga mengetepikan adab, fakta dan asas kenegaraan, titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ingatkan rakyat tak bersikap kaduk naik junjung

Baginda bertitah, setiap lapisan masyarakat khususnya generasi muda perlu menghargai keamanan, kemerdekaan dan kestabilan negara yang dibina hasil perjuangan serta kebijaksanaan generasi terdahulu.

Sehubungan itu, baginda mengingatkan rakyat supaya tidak bersikap seperti peribahasa ‘kaduk naik junjung’ apabila diberikan ruang dan kebebasan, sehingga melupakan asal usul serta tanggungjawab untuk memelihara keharmonian negara.

“Janganlah menjadi seperti kaduk naik junjung. Apabila diberi ruang dan kebebasan, semakin tinggi menjulang, semakin melupakan akar tempat berpaut.
“Janganlah setelah menikmati keamanan dan kemakmuran negara, kita menjadi terlalu angkuh dengan bertindak sehingga merosakkan warisan, institusi serta asas kenegaraan yang selama ini menjadi pelindung kehidupan masyarakat.
“Sesungguhnya, kebebasan bukanlah lesen untuk bertindak sesuka hati. Keberanian bukan alasan untuk berlaku biadab,” titah baginda.

Kelantangan bersuara bukan bukti punya kebijaksanaan

Baginda bertitah demikian ketika berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan pada Majlis Konvokesyen Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Ke-23 (Sesi Pertama).

Dalam titah sama, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan bahawa kelantangan bersuara atau tindakan mempertikaikan sesuatu perkara tidak semestinya membuktikan seseorang itu mempunyai kebijaksanaan.

“Tidak semua yang melawan arus itu pejuang. Tidak semua yang lantang bersuara itu benar dan tidak semua yang gemar mempertikaikan sesuatu itu bijak,” 
Image from: Sultan Pahang ingatkan rakyat hargai kebebasan -“Jangan jadi seperti kaduk naik junjung”

Foto: Berita Harian

Baginda turut menjelaskan bahawa perbezaan pandangan dan teguran tidak pernah menjadi satu kesalahan, namun perkara itu perlu dilakukan secara berhemah dengan berpandukan fakta serta adab.

Selain itu, mahasiswa turut diseru agar tidak hanya memberikan tumpuan kepada pencapaian akademik, sebaliknya memahami kepentingan kedaulatan, menghormati institusi negara dan memelihara perpaduan masyarakat.

“Gunakan hati untuk mendamaikan dan menyatukan masyarakat, bukannya meruntuhkan perpaduan dan menyemarakkan permusuhan,” titah baginda lagi.

Sumber: YouTube UniKL

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved