Sultan Pahang Terima Ijazah Kehormat, Tengku Hassanal Dimasyhur Canselor UniKL

21 Nov 2026 • 3:01 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Sultan Pahang Terima Ijazah Kehormat, Tengku Hassanal Dimasyhur Canselor UniKL

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan bersempena dengan Istiadat Konvokesyen ke-23 Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Penganugerahan itu merupakan pengiktirafan tertinggi UniKL terhadap kepimpinan Al-Sultan Abdullah selaku Canselor UniKL pertama, selama 21 tahun.

Dalam titah penerimaan, Al-Sultan Abdullah menyifatkan penganugerahan itu sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi kolektif warga universiti berkenaan, sepanjang dua dekad lepas.

“Bagi saya, kemuliaan sesuatu anugerah bukanlah terletak pada gelaran yang disandang, tetapi pada amanah yang dijunjung dan bakti yang disumbangkan. Kerana pada akhirnya, bukan pangkat yang mengangkat martabat insan, tetapi ilmu, keikhlasan dan jasa yang ditinggalkan,” titah baginda.

Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Baca juga:

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Pro-Canselor UniKL, Naib Canselor UniKL Prof Dr Kushsairy Abdul Kadir dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sultan Pahang bertitah legasi amanah sebagai Canselor UniKL itu kini akan diteruskan oleh anakanda baginda Tengku Hassanal, yang dimasyhurkan sebagai Canselor UniKL baharu pada istiadat konvokesyen itu.

Pada istiadat sama, UniKL menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori Longest Serving Royal Chancellor of a Private Higher Education Institution, yang mengiktiraf tempoh perkhidmatan berterusan Al-Sultan Abdullah sebagai Canselor UniKL selama 21 tahun, satu bulan dan 21 hari bermula 1 Julai 2004 hingga 22 Ogos 2025.

Istiadat Konvokesyen ke-23 UniKL yang berlangsung dalam 11 sesi bermula hari ini hingga 26 Nov meraikan 8,147 graduan merangkumi 8,022 graduan tempatan dan 125 graduan antarabangsa dari 39 negara.

Selain itu, ia turut menyaksikan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL Prof Datuk Dr Abdul Hakim Juri, dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved