Sultan Pahang, Tengku Ampuan zahir ucapan takziah kepada keluarga Cikgu Murdani

LocalPolitics
27 Nov 2024 • 11:56 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Cikgu Murdani, yang meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh ke Sungai Pahang. Foto FB Kesultanan Pahang

image is not available
Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat dan turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa pada Isnin. Foto FB Kesultanan Pahang

image is not available
Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke lokasi bagi meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa pada Isnin. Foto FB Kesultanan Pahang

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Cikgu Murdani Ab Rahman, 53, yang meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh ke Sungai Pahang ketika memancing di Jeti Kampung Chenor, Maran, Ahad lalu.

Jenazah Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan, Chenor itu ditemui orang awam jam 12.45 tengah hari pada Selasa kira-kira 300 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

"Baginda berdua mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

"Baginda berdua turut berharap agar segala urusan dipermudahkan dan keluarganya tabah di atas kehilangan insan yang tersayang," ujar kenyataan melalui Facebook Kesultanan Pahang pada Rabu.

Kejadian itu mendapat perhatian Al-Sultan Abdullah apabila baginda berkenan berangkat meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa pada Isnin.

Semasa berangkat ke lokasi, baginda bertitah agar satu pasukan khas SAR ditubuhkan di Pahang terutamanya bagi membantu kes lemas atau orang hilang di Sungai Pahang.

Titah baginda pasukan itu satu keperluan berikutan ramai anggota dari luar daerah dan negeri perlu diambil bertugas setiap kali berlaku kejadian lemas dan seumpamanya.