
KUALA LANGAT, 20 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan berangkat menyertai Larian Kebajikan dan Inklusiviti Teras Inspirasi (KITA) X Pesta Kelaut@Pantai Kelanang 2025 bertempat di Pantai Kelanang di sini.
Keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin jam 7.30 pagi disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Baginda berdua berkenan melepaskan larian lebih 1,000 peserta 3 kilometer(km) dan 5km di kawasan tepi Pantai Kelanang sebelum turut menyertai peserta.

Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri turut berkenan merasmikan pertandingan sukan rakyat antaranya tarik tali pantai, basikal titi dan pukul bantal.
Baginda berdua turut berkenan melawat reruai pameran yang dibawa untuk pengunjung seperti motosikal retro, Jabatan Perhilitan Selangor serta Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).
Hadir sama, EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah; EXCO Kebajikan V Papparaidu serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat Mohd Hasry Nor Mohd.
Sebelum ini, Pesta Kelaut@Pantai Kelanang yang dianjurkan bermula 2023 mengetengahkan pelbagai aktiviti termasuk glamping.
Program itu turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk MPKK Kampung Kelanang, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Selangor, Tourism Selangor serta Agrosel Kuala Langat dan Badan Kebajikan Sukarelawan Pantai Kelanang.



The post Sultan, Permaisuri berkenan sertai lebih 1,000 peserta larian di Pantai Kelanang appeared first on Selangorkini.

