Sultan Selangor: Berbuat baik kepada semua haiwan

14 Aug 2026 • 10:13 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Sultan Selangor: Berbuat baik kepada semua haiwan

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah manusia sebagai khalifah wajib jaga alam dan haiwan, namun Islam benarkan tindakan jika haiwan liar ancam keselamatan awam.

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru umat Islam supaya sentiasa melakukan kebaikan dan menunjukkan belas kasihan terhadap semua haiwan, termasuk haiwan liar.

Baginda bertitah seruan itu selaras dengan intipati khutbah Jumaat bertajuk “Ihsan Terhadap Makhluk Allah SWT” yang disampaikan di masjid-masjid di seluruh Selangor hari ini, selain meminta rakyat menghayati dan memahami kandungannya.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda bertitah bahawa sebagai khalifah di muka bumi, manusia memikul amanah besar untuk menjaga, memelihara dan mengurus alam dengan penuh tanggungjawab, termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan, bukit-bukau, lautan dan sungai.

“Kesemuanya merupakan tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT yang mesti dijaga dan dipulihara kelestariannya.

“Hubungan manusia dengan makhluk yang lain perlulah sentiasa dibina atas dasar ihsan dan tanggungjawab,” menurut hantaran itu.

Baginda bertitah Nabi Muhammad SAW amat menitikberatkan belas kasihan terhadap haiwan, malah Islam mengajar umatnya supaya berbuat baik kepada haiwan dengan memberi makan dan minum atau sekurang-kurangnya tidak menzalimi mana-mana haiwan ciptaan Allah SWT.

Bagaimanapun, baginda bertitah keadaan berbeza apabila haiwan liar boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan awam atau menyebabkan kerosakan harta benda.

“Dalam keadaan ini, Islam membenarkan supaya tindakan diambil bagi mengelakkan kemudaratan dan ini bertepatan dengan maqasid syariah iaitu menjaga nyawa dan juga harta,” menurut hantaran itu.

Baginda bertitah ihsan terhadap haiwan dan menjaga keselamatan manusia bukanlah dua perkara yang bertentangan, sebaliknya kedua-duanya merupakan sebahagian daripada keindahan ajaran Islam yang meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved