Tiada kompromi! Setiap inci tanah negeri wajib dipertahankan daripada pencerobohan haram – Sultan Pahang

LocalPolitics
1 Aug 2026 • 6:02 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan setiap inci tanah negeri ini wajib dipertahankan daripada sebarang bentuk penerokaan, pencerobohan dan penguasaan tanah secara haram, selain mengingatkan undang-undang mesti dikuatkuasakan tanpa gentar atau pilih kasih.

Baginda bertitah, dalam soal kedaulatan tanah dan maruah Pahang, tiada ruang untuk kompromi kerana keadilan akan terhakis sekiranya undang-undang dilaksanakan secara pilih kasih.

“Ini kerana apabila undang-undang mula dipilih-pilih untuk dilaksanakan, ketika itulah keadilan mula kehilangan maknanya dan apabila keadilan rebah, maruah sesebuah negeri turut runtuh bersamanya,” titah baginda.

Image from: Tiada kompromi! Setiap inci tanah negeri wajib dipertahankan daripada pencerobohan haram – Sultan Pahang

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurnian Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-67 Sultan Pahang di Istana Abdulaziz, hari ini.

Yang turut berangkat ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Dalam titah sama, Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tular di media sosial atau naratif yang sengaja dibentuk bagi membangkitkan sentimen tertentu.

“Lebih mendukacitakan apabila terdapat segelintir pihak sanggup menjadi api dalam sekam, kelihatan seolah-olah memperjuangkan nasib rakyat tetapi hakikatnya mengeruhkan keadaan, menggalakkan penerokaan haram dan mengambil kesempatan daripada kekeliruan yang berlaku.
“Ada yang berselindung di sebalik nama pertubuhan (atau) pentas politik, malah tidak terkecuali mereka yang menggunakan kedudukan dan pengaruh tertentu untuk mencampuri urusan penguatkuasaan,” titah baginda.

Image from: Tiada kompromi! Setiap inci tanah negeri wajib dipertahankan daripada pencerobohan haram – Sultan Pahang

Baginda menegaskan tindakan sedemikian bukan suatu perjuangan, sebaliknya pengkhianatan terhadap kepentingan negeri dan keluhuran undang-undang.

“Sesiapa menghasut rakyat supaya melanggar undang-undang, menjadi pelindung kepada penceroboh, menyebarkan fakta mengelirukan atau sengaja mengapi-apikan keadaan demi kepentingan tertentu hendaklah disiasat dan diambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut memaklumkan lebih 1.59 juta hektar atau 44 peratus keluasan Pahang kekal sebagai hutan simpanan kekal, selain kawasan baharu terus diwartakan bagi memperkukuh usaha pemuliharaan.

Artikel lain: Isu solat Jumaat di ‘mall’: Sultan Pahang perkenan penegasan syarat ikut Mazhab Syafie

Baginda bagaimanapun bertitah usaha mengekalkan kawasan hutan yang luas memberi beban besar kepada negeri dan berharap Kerajaan Persekutuan terus menyalurkan sokongan lebih adil menerusi mekanisme Ecological Fiscal Transfer, termasuk peruntukan kewangan yang bersesuaian.

Image from: Tiada kompromi! Setiap inci tanah negeri wajib dipertahankan daripada pencerobohan haram – Sultan Pahang

Pada masa sama, Sultan Pahang mengingatkan semua Orang Besar dan kerabat diraja supaya sentiasa memelihara nama baik institusi diraja.

Dalam istiadat itu juga, baginda mengumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohammad Nizar Mohammad Najib sebagai Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang yang baharu.

Sumber: BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved