Sultan Selangor mahu pembangunan Kampung Baru dikendali secara teliti, berhemah, utama kepentingan orang Melayu

LocalPolitics
18 Sep 2025 • 12:39 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu isu pembangunan semula tanah di Kampung Baru, di sini, dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan diberikan kepada kepentingan orang Melayu.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tiada halangan jika kawasan Kampung Baru hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.

Justeru, baginda mahu setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan isu tersebut harus mengambil kira sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampung Baru.

“Sebarang keputusan atau usaha-usaha pembangunan di Kampung Baru harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan juga untuk jangka masa panjang,’’ titah baginda menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sultan Sharafuddin turut mengimbas semula ketika baginda menetap dan bersekolah di Kebangsaan Raja Muda di Kampung Baru, ketika Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi Raja Muda Selangor.

“Allahyarham ayahanda kepada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga lahir di Kampong Bharu di mana Tengku Permaisuri sekeluarga tinggal dan membesar,'' titah baginda.

Menurut baginda, Kampung Baru ditubuhkan pada 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian, hasil kurniaan daripada nenda baginda, Sultan Selangor Ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Malay Agricultural Settlement (M.A.S).

Sebagai nadi pembangunan Kuala Lumpur, titah baginda, Kampung Baru menempatkan Kelab Sultan Sulaiman, lokasi berlangsungnya Kongres Melayu SeMalaya pada 1946 yang mencetuskan penubuhan Umno.

“Semasa tragedi 13 Mei 1969, Kelab Sultan Sulaiman juga dijadikan tempat perlindungan orang-orang Melayu. Padang Kelab Sultan Sulaiman turut digunakan sebagai tempat latihan pasukan bola sepak Selangor sebelum terbinanya Stadium Merdeka. Kini, Bangunan Warisan Kelab Sultan Sulaiman masih menjadi hakmilik Kerajaan Negeri Selangor.

“Bukan itu sahaja, sebelum Kuala Lumpur diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga berada di Kampung Baru.

“Lebih nostalgik, persefahaman pernah dicapai supaya Masjid Jamek Kampung Baru yang telah dirasmikan oleh Sultan Selangor ke-6, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, harus dikekalkan di lokasi sedia ada dan tidak boleh dipindahkan ke tempat lain.

“Sesungguhnya, Kampung Baru adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak tahun 1900,’’ titah baginda. - 18 September, 2025